SHAH ALAM, 17 Sept (Bernama) -- Kerajaan Selangor menyediakan peruntukan hingga RM20 juta bagi tempoh dua tahun bermula 2025, dalam usaha menyelesaikan isu berkait pemilikan hak milik strata yang tertangguh di negeri itu.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata penyelesaian itu bukan sekadar membabitkan kelulusan pelan bangunan, pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat tanah atau bayaran cukai tanah malah memerlukan pengumpulan dan pengemaskinian maklumat pemilik.
"Bayangkan satu rumah strata mempunyai lebih 200 unit, kadang-kadang ribuan dan kita terpaksa mengambil tempoh panjang dalam pengisian data serta maklumat.
"Kita memerlukan proses lebih luas kerana perlu melakukan beberapa langkah yang tertinggal daripada masa lalu," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Inisiatif Pemerkasaan Komuniti Strata Selangor Tahun 2026 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Exco Perumahan dan Kebudayaan negeri Datuk Borhan Aman Shah berkata kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) memperuntukkan keseluruhan RM5.68 juta menerusi tiga inisiatif pemerkasaan komuniti strata bagi 2026.
Borhan berkata inisiatif itu merangkumi Skim CERIA, Program Revitalisasi Kediaman Pangsapuri dan Pengukuhan Komuniti Selangor (SPARK) serta Program C-SMART 2.0.
“Daripada jumlah itu, RM5.16 juta diperuntukkan menerusi Skim CERIA bagi melaksanakan kerja baik pulih melibatkan 12 skim perumahan strata.
“RM184,000 pula disalurkan menerusi Program SPARK kepada 23 pangsapuri dengan geran RM8,000 bagi setiap pangsapuri, manakala RM340,000 diperuntukkan bagi C-SMART 2.0 melibatkan 12 PBT di seluruh Selangor,” katanya.
-- BERNAMA