Am 17/09/2026 03:22 PM

Keperluan Wajib Jaminan Kemampanan ACSR Berkuat Kuasa 2028 - SC

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Keperluan Wajib Jaminan Kemampanan ACSR Berkuat Kuasa 2028 - SC
Suruhanjaya Sekuriti (SC)

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Jawatankuasa Penasihat Pelaporan Kemampanan (ACSR) menangguhkan pelaksanaan keperluan wajib jaminan munasabah bagi pendedahan pelepasan gas rumah hijau (GHG) Skop 1 dan Skop 2 untuk entiti Kumpulan 1 yang tertakluk di bawah Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Kebangsaan (NSRF). 

ACSR dipengerusikan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Keperluan berkenaan yang terpakai kepada entiti Kumpulan 1 kini akan berkuat kuasa bagi tempoh pelaporan tahunan yang bermula pada atau selepas 1 Jan, 2028 berbanding 1 Jan, 2027. 

Sehubungan itu, keperluan jaminan wajib bagi entiti Kumpulan 2 dan Kumpulan 3 juga akan ditangguhkan selama setahun, masing-masing bermula pada 2029 dan 2030. 

"Tempoh tambahan setahun ini bertujuan menyokong pihak penyedia laporan dalam memperkukuh proses pelaporan, kawalan dan kualiti data sebelum pelaksanaan jaminan wajib.

"Satu tempoh perundingan awam diadakan sebelum ini bagi mendapatkan maklum balas industri mengenai rangka kerja dan keperluan yang dicadangkan," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

 Keputusan ini berikutan semakan oleh Minority Shareholders Watch Group (MSWG) dan Climate Governance Malaysia (CGM) terhadap kohort pertama yang terdiri daripada 91 penerbit tersenarai Kumpulan 1 yang melapor di bawah Piawaian Pendedahan Kemampanan IFRS.

 Semakan tersebut mendapati bahawa penambahbaikan lanjut terhadap kualiti pendedahan diperlukan.  

Di bawah pelanjutan ini, menurut SC, penerbit tersenarai akan terus dikehendaki selaras dengan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama dan Pasaran ACE untuk menyatakan sama ada pendedahan kemampanan mereka tertakluk kepada semakan dalaman oleh juruaudit dalaman atau mendapat jaminan bebas daripada penyedia perkhidmatan jaminan kemampanan. 

"Sebarang jaminan bebas kini mesti dilaksanakan mengikut piawaian jaminan diiktiraf yang ditetapkan iaitu ISSA 50001 sahaja. 

 "Dua lagi piawaian jaminan sedia ada iaitu International Standard on Assurance Engagements (ISAE) 3000 (Disemak Semula) dan piawaian International Organization for Standardization (ISO), tidak lagi akan disyorkan," jelasnya. 

-- BERNAMA