PENDANG, 17 Sept (Bernama) -- Bangunan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dan Pejabat Pemuda PAS Pendang di Gajah Mati di sini, musnah kira-kira 80 peratus dalam kebakaran hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kedah memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 10 pagi tadi.
Beliau berkata sepasukan anggota bersama jentera Custom Fire Rescue Tender (CFRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Setibanya pasukan bomba di lokasi yang terletak 11 kilometer dari balai bomba pada 10.15 pagi, didapati kebakaran melibatkan bangunan sekolah Kelas B dan api sedang marak. Operasi pemadaman segera dilakukan," menurut jurucakap itu di sini hari ini.
Beliau berkata oeprasi itu turut dibantu lima anggota bersama jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dari BBP Jalan Raja serta 21 anggota daripada sembilan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berdekatan iaitu Tanah Merah, Pendang, Seberang Nyonya, Jalan Kundur, Kota Sarang Semut, Pokok Sena, Simpang 4 Sungai Limau, Padang Lembu, danSimpang 4 Alor Setar.
Beliau berkata api berjaya dikawal pada 10.27 pagi sebelum kerja-kerja overhaul bagi memastikan tiada lagi bara api yang boleh mencetuskan kebakaran berulang, dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 1.18 tengah hari.
Beliau berkata punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan, manakala tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
-- BERNAMA