Oleh Abdul Rahman Fahmi Abdul Aziz
KUCHING, 16 Sept (Bernama) -- Kepulangan Buku Khas Sambutan Hari Malaysia ke Sarawak bersempena dengan sambutan pada tahun ini menterjemahkan ikatan sejarah serta keharmonian yang sentiasa terjalin kukuh antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Naskhah rasmi yang disimpan Jabatan Arkib Negeri Sabah itu menjadi saksi perpaduan dan penyatupaduan tiga wilayah tersebut, menyaksikan tiga wakil wilayah-wilayah berkenaan menurunkan tandatangan setiap kali Sambutan Hari Malaysia diadakan bagi melambangkan perpaduan nasional.
Pegawai Arkib Negeri Sabah Razali Dait berkata upacara itu akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor pada sambutan malam ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
“Tandatangan itu adalah simbolik kepada penyatuan kita antara tiga wilayah tersebut. Walaupun upacara itu hanyalah seminit dua tetapi itu simbolik sebenar 16 Sept yang menentukan penyataan pembentukan Malaysia,” katanya kepada Bernama.
Mula diperkenalkan pada 2010, buku khas itu mengandungi kompilasi watikah yang ditandatangani wakil Kerajaan Persekutuan, Sabah serta Sarawak.
Buku berkenaan diilhamkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan ketika itu, Tan Sri Dr Rais Yatim, manakala penyediaannya dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.
Kulit buku catatan rasmi perayaan Hari Malaysia berkenaan bersalutkan emas dan menggunakan motif tenunan berdasarkan corak etnik tempatan Sarawak, Sabah dan Semenanjung.
Kotaknya pula diperbuat daripada kayu jati dan di atasnya diletakkan Jata Negara dan 13 jata negeri.
Razali yang bertanggungjawab menerbangkan buku itu dari Kota Kinabalu ke Kuching berkata pergerakan dokumen berkenaan disempurnakan menerusi kawalan rapi serta kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Sarawak selaku tuan rumah dan agensi Persekutuan.
Beliau berkata ikatan yang dimeterai menerusi dokumen bersejarah itu menjadi asas penting kepada kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam memenuhi aspirasi rakyat di seluruh wilayah.
Beliau berharap nilai keharmonian dan persefahaman merentasi pelbagai etnik dan suku kaum yang diabadikan dalam tradisi berkenaan terus dihayati oleh generasi muda sebagai tonggak kedamaian negara.
“Kita amalkan budaya kerjasama, budaya saling memahami dan menyantuni satu sama lain supaya Malaysia terus dipandang tinggi, kekal aman dan berkembang selari dengan negara-negara lain,” katanya.
Upacara menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia adalah acara tradisi setiap kali sambutan Hari Malaysia sebagai simbolik dan memperingati sejarah pembentukan Malaysia hasil gabungan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak pada 16 Sept 1963.
Kali terakhir buku berkenaan berada di Bumi Kenyalang adalah pada Sambutan Hari Malaysia 2023 yang diadakan di Stadium Perpaduan di sini.
-- BERNAMA