SHAH ALAM, 16 Sept (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memperkasakan landskap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi penganjuran Majlis Anugerah Inovasi Pembelajaran Digital Politeknik dan Kolej Komuniti (eDOLA) XIV Tahun 2026, yang melabuhkan tirai malam tadi.
Ketua Setiausaha KPT Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata program berprestij edisi ke-14 itu membawa tema "Human Vision, Agentic Action" untuk mengetengahkan kesepaduan matlamat pendidikan berpaksikan nilai kemanusiaan dan keupayaan kecerdasan buatan (AI) moden.
"Inisiatif serta komitmen rakan strategik utama, Amazon Web Services (AWS) membuktikan kepercayaan pihak industri terhadap potensi Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC), malah menjadi pemangkin utama dalam memperkasakan ekosistem pendidikan berasaskan teknologi moden.
"Justeru, mengambil keberkatan dan semangat kerjasama itu saya ingin menyeru serta mengajak penglibatan lebih ramai rakan industri, khususnya rakan-rakan strategik seperti PGR GeoSolution, Penang Tech Center dan syarikat-syarikat teraju yang lain untuk terus berganding bahu bersama kami," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup majlis anugerah berkenaan yang turut dihadiri Ketua Pengarah Pendidikan POLYCC Dr Shamsuri Abdullah di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor (SITC), di sini semalam.
Beliau berkata pendekatan strategik itu selaras dengan hala tuju kementerian yang meletakkan institusi POLYCC sebagai pelopor utama pendidikan TVET negara.
Aminuddin berkata ukuran sebenar inovasi pendidikan kini terletak pada sejauh mana ia membantu pelajar memahami subjek dengan lebih baik serta boleh dikongsi bersama pendidik lain.
Penganjuran tahun ini turut menyerlahkan kejayaan cemerlang para pelajar menerusi pertandingan POLYCC Agentic AI League yang menguji kebolehan generasi muda membina sistem pintar.
Beliau berkata kementerian menekankan bahawa teknologi tidak sesekali menentukan tujuan pendidikan kerana manusia kekal diperlukan untuk menetapkan nilai serta hasil akhir yang ingin dicapai.
"Bagi saya, frasa Human Vision bermaksud kita mesti bermula dengan persoalan pendidikan terlebih dahulu, bukan dengan alat teknologi.
"Sistem yang semakin pintar boleh membantu mempercepat tugas dan memperluas keupayaan tetapi pertimbangan profesional pensyarah, integriti akademik, keselamatan, privasi dan nilai kemanusiaan tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada mesin," katanya.
Dalam acara sama, Aminuddin turut melancarkan sistem pengurusan repositori dan pengesahan akademik berasaskan teknologi blockchain dikenali sebagai Sistem Autentikasi Teknologi Rantaian-Block Integriti Akademik (SATRIA) POLYCC.
Inovasi berkenaan bertindak sebagai infrastruktur kepercayaan yang menghubungkan pengalaman pembelajaran mikro secara telus bagi melindungi rekod akademik graduan.
Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin membawa pulang RM120,000 beserta trofi selepas dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan eDOLA 2026.
Malam tadi turut berlangsung penganugerahan Sijil Digital POLYCC - Palestine Digital Micro Credential kepada 30 pelajar Palestin hasil kerjasama antarabangsa.
-- BERNAMA