Am 16/09/2026 03:31 PM

Hari Malaysia: Jemaah Menteri Seru Rakyat Terus Pelihara Perpaduan, Kesejahteraan Negara

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Hari Malaysia: Jemaah Menteri Seru Rakyat Terus Pelihara Perpaduan, Kesejahteraan Negara
gambar fail

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia 2026 hari ini, barisan Jemaah Menteri menyeru rakyat agar terus memelihara perpaduan, saling menghormati dan menghargai kepelbagaian sebagai asas kekuatan negara, selain memastikan kemajuan serta kesejahteraan dapat dinikmati bersama.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata sambutan Hari Malaysia mengingatkan rakyat bahawa negara ini dibina atas persefahaman, kebersamaan dan tekad untuk melangkah sebagai satu Malaysia.

“Cerita pembentukan Malaysia bukan milik satu negeri, satu wilayah atau satu kelompok. Ini cerita kita semua, dari Semenanjung, Sabah hingga Sarawak.

“Dalam semangat Segulai Sejalai, ayuh kita terus menghargai sejarah, memelihara perpaduan dan memastikan kemajuan serta kesejahteraan negara dapat dirasai oleh seluruh rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata keamanan serta keharmonian yang dinikmati hari ini lahir daripada pengorbanan generasi terdahulu dan usaha berterusan seluruh rakyat Malaysia.

Beliau berkata perbezaan kaum, agama, budaya dan latar belakang bukan penghalang, sebaliknya membentuk kekuatan serta identiti Malaysia

“Tanggungjawab kita hari ini adalah untuk terus menjaga apa yang telah dibina, saling menghormati dan memperkukuh perpaduan antara satu sama lain,” katanya, sambil mendoakan Malaysia terus melangkah maju sebagai sebuah negara yang aman, makmur dan sejahtera untuk semua.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata menjadi rakyat Malaysia bukan sekadar satu identiti, malah adalah amanah untuk rakyat bersama-sama menjaga keamanan, memelihara keharmonian dan mempertahankan kedaulatan tanah air.

“Malaysia yang kuat tidak terbina dengan sendirinya. Ia lahir daripada rakyat yang bersatu, saling percaya dan teguh berdiri demi negara. Semoga kebersamaan yang kita bina terus menjadi kekuatan Malaysia,” katanya.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan pula mengajak rakyat terus memperkukuh semangat kebersamaan, saling menghormati dan berganding bahu membina Malaysia MADANI yang lebih maju, inklusif dan sejahtera untuk setiap rakyat.

Beliau berkata walaupun rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, agama, budaya dan latar belakang, semua berkongsi satu tanah air, satu harapan dan satu masa depan.

“Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat Malaysia. Malaysia milik kita bersama. Bersatu hati, teguh sebagai satu bangsa,” katanya.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata Hari Malaysia bukan sekadar memperingati penyatuan Semenanjung, Sabah dan Sarawak, tetapi memperteguh tekad untuk membina sebuah negara yang sihat, sejahtera dan inklusif.

Beliau berkata kesihatan rakyat adalah asas utama kepada kemakmuran sesebuah negara. Justeru, setiap warga Malaysia tanpa mengira latar belakang berhak menerima akses perkhidmatan kesihatan yang adil, saksama dan berkualiti.

“Dalam semangat Segulai Sejalai, ayuh kita terus memelihara perpaduan, saling menjaga kesejahteraan kendiri serta komuniti dan memastikan kesihatan negara terus terbela,” katanya.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata perpaduan perlu dibuktikan melalui keadilan, sikap saling menghormati serta pembangunan yang dapat dinikmati secara saksama oleh seluruh rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata amanah pemerintahan dan politik juga harus diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat, termasuk memastikan keterjaminan makanan negara, menjaga kebajikan petani, pesawah, nelayan dan penternak serta membina politik yang membawa rahmat dan penyelesaian, bukan kebencian atau perpecahan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri pula berharap hubungan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung terus diperkukuh atas semangat saling menghormati, memahami dan bekerjasama.

Sebagai anak Sarawak, Nancy berkata pembangunan juga perlu terus dinikmati secara bersama, dengan setiap rakyat tanpa mengira sama ada di bandar, luar bandar atau pedalaman mempunyai peluang untuk membina kehidupan serta masa depan yang lebih baik.

Dalam pada itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata perbezaan budaya, bahasa, adat dan warisan dari Semenanjung hingga Sabah dan Sarawak bukanlah pemisah, sebaliknya khazanah yang memperkaya identiti Malaysia.

“Sempena sambutan Hari Malaysia yang bertemakan ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus memelihara keharmonian, memperkukuh perpaduan dan menghargai keunikan yang kita warisi bersama.

“Inilah wajah Malaysia yang ingin kita tampilkan kepada dunia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026-2027, sebuah negara yang bukan sahaja indah untuk dikunjungi tetapi juga kaya dengan budaya, keramahan rakyat dan semangat kebersamaan,” katanya.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pula berharap agar semangat Hari Malaysia terus menyatukan rakyat dalam membina masa depan yang lebih aman, maju dan sejahtera.

“Dari Sabah ke Sarawak, dari Semenanjung hingga ke seluruh pelosok negara, kita disatukan oleh semangat muhibah, perpaduan dan kasih kepada tanah air tercinta. Dalam kepelbagaian budaya, bangsa dan latar belakang, kita terus berdiri bersama sebagai satu keluarga Malaysia,” katanya.

Turut mengucapkan Selamat Hari Malaysia ialah Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Ucapan sama turut dizahirkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

-- BERNAMA