Am 16/09/2026 04:47 PM

Tabung Kasih@HAWANA X TM Bantu Waris Mendiang James Ritchie

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Tabung Kasih@HAWANA X TM Bantu Waris Mendiang James Ritchie
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching (dua, kanan) menyampaikan sumbangan kepada isteri mendiang wartawan veteran James Alexander Ritchie, Helen Tan (tengah, duduk), pada program Tabung Kasih@HAWANA X TM di kediamannya hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin (kiri) dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj (kanan).

KUCHING, 16 Sept (Bernama) -- Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching hari ini menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA X TM kepada keluarga mendiang James Alexander Ritchie. 

James Ritchie yang merupakan penerima Anugerah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 meninggal dunia pada 3 Mei 2025 pada usia 75 tahun.

Teo berkata James Ritchie telah berkecimpung dalam bidang kewartawanan selama lebih lima dekad dan merupakan individu pertama yang membawa nama akhbar New Straits Times ke Sarawak.

“Jasa beliau akan sentiasa dikenang… besar sumbangan beliau dalam bidang kewartawanan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan berkenaan di kediaman keluarga James Ritchie di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Datuk Bahria Mohd Tamil, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Hadir sama Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen serta Pengurus Besar TM One Sarawak Mohd Zulkifli Ismuni.

Sementara itu, anak mendiang, Rebekah Dawn Ba'o Ritchie berkata dia berasa bangga dengan pencapaian bapanya yang masih dikenang oleh rakan dalam industri media.

“Bapa saya mempunyai minat yang mendalam terhadap Sarawak, sering menulis mengenai sejarah Sarawak bagi memastikan masyarakat tempatan tidak melupakan sejarah mereka,” katanya.

Kerjaya James Ritchie dalam bidang media dan komunikasi bermula pada 1971 sebagai wartawan kadet New Straits Times (NST) sebelum berkhidmat sebagai wartawan NST Sarawak pada 1981, Pegawai Perhubungan Awam di Jabatan Ketua Menteri Sarawak pada 1998 dan Perunding Media bersama Sarawak Digest pada 2022.

Tabung Kasih@HAWANA X TM adalah inisiatif di bawah Tabung Kasih@HAWANA menerusi sumbangan dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) Telekom Malaysia (TM) bagi memperluas bantuan kepada pengamal media yang memerlukan.

Sejak peruntukan itu mula disalurkan pada Jun 2026, sebanyak 77 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat daripada inisiatif berkenaan.

Secara keseluruhan, 847 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat Tabung Kasih@HAWANA sejak diperkenalkan pada April 2023. Inisiatif yang diterajui Kementerian Komunikasi itu dilaksanakan menerusi Bernama.

-- BERNAMA