Am 16/09/2026 06:26 PM

159 Pelajar Sertai Program Bermalam Di Muzium, Semarak Hari Malaysia

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
159 Pelajar Sertai Program Bermalam Di Muzium, Semarak Hari Malaysia
Peserta mengibarkan Jalur Gemilang sambil menyanyikan lagu patriotik sempena sambutan Hari Malaysia pada Program Bermalam di Muzium Peringkat Negeri Selangor di Muzium Sultan Alam Shah, Seksyen 14. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

SHAH ALAM, 16 Sept (Bernama) -- Sambutan Hari Malaysia disemarakkan oleh 159 pelajar daripada 17 sekolah di Selangor dengan menyertai Program Bermalam di Muzium 2026 di Muzium Sultan Alam Shah, di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) Aslynda Mohd Dahlan berkata program anjuran PADAT dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia (JMM) selama dua hari bermula semalam itu melibatkan pelajar berusia 13 hingga 17 tahun.

Beliau berkata program tahunan itu kali ini dilaksanakan secara serentak bersempena dengan sambutan Hari Malaysia bagi mendekatkan generasi muda dengan sejarah dan warisan negara melalui pengalaman lebih interaktif.

"Pendekatan pembelajaran dengan pengalaman seumpama ini penting bagi generasi baharu melihat muzium bukan sekadar tempat menyimpan dan mempamerkan koleksi.

"Muzium sebenarnya menyimpan cerita tentang siapa kita, terutama generasi muda dalam memahami kehidupan masyarakat terdahulu, adat, seni dan peristiwa yang membentuk negeri serta negara ini," katanya selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Bermalam di Muzium 2026 Peringkat Negeri Selangor di muzium itu, hari ini.

Sebanyak 17 sekolah menyertai program itu antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 9, Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah (SAMTTAJ), SMK Seksyen 24 (2), SMK Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan SMK Seksyen 18. 

Selain itu, SMK Meru, SMK Bukit Kapar, SMK Jalan Kebun, SMK Pulau Indah, SMK Setia Alam, SMK Banting, SMK Seksyen 7, SMK Seksyen 19, SMK Seksyen 11 dan SMK Rantau Panjang turut mengambil bahagian dalam program tersebut.

Aslynda berkata pengisian program berkenaan meliputi pelbagai aktiviti termasuk sesi perkongsian ilmu bersama dengan kurator dan Akademi Kenegaraan Malaysia selain aktiviti kecergasan, Kurator Muda serta Eksplorasi Muzium.  

"Menerusi Program Kurator Muda, peserta bukan saja didedahkan dengan koleksi muzium, malah berpeluang menghasilkan semula diorama atau replika koleksi menggunakan bahan terbuang.

"Pendekatan itu ialah sebahagian daripada usaha menjadikan pembelajaran sejarah dan warisan lebih hidup serta tidak hanya terbatas pada pembelajaran menerusi buku teks," katanya.

Beliau berkata pengalaman belajar di luar bilik darjah menerusi program itu diharap dapat membentuk sifat ingin tahu, keyakinan diri, kerjasama berkumpulan, disiplin dan keberanian mencuba sesuatu perkara baharu dalam kalangan peserta.

"Program seumpama ini juga diharap dapat memperkukuh fungsi muzium sebagai institusi pendidikan tidak formal dan menyediakan pengalaman pembelajaran yang mampu mencetuskan minat generasi muda untuk terus mengenali, menghargai dan memelihara sejarah serta warisan," katanya.

Aslynda berkata PADAT mahu Muzium Sultan Alam Shah terus berperanan sebagai ruang pembelajaran yang dekat dengan generasi muda melalui penyampaian sejarah dan warisan relevan, menarik serta mudah difahami.

“Melihat sendiri artifak, berdiri di depan koleksi sebenar dan memahami kisah di sebaliknya itu memberikan hubungan berbeza dengan sejarah … daripada hanya melihat melalui telefon,” katanya.

Sementara itu, peserta terbaik lelaki, Muhammad Hafidz Ikram Mohd Nor Azman, 16, berkata program berkenaan memberikan peluang kepada pelajar untuk mempelajari sejarah secara interaktif dan bukan hanya menerusi buku teks semata-mata.

"Ini kali kedua saya menyertainya dan seronok dapat menimba ilmu dan berkongsi pengalaman dengan orang lebih dewasa serta pelajar sekolah lain.

"Sejarah sememangnya subjek yang penting dan program ini turut merapatkan ukhuwah serta bersosial dengan cara betul," kata pelajar tingkatan empat SAMTTAJ itu.

-- BERNAMA