Am 16/09/2026 07:47 PM

Abdul Fattah Menang Ahli Lembaga ICA

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Abdul Fattah Menang Ahli Lembaga ICA
Kredit: ANGKASA

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah dipilih sebagai Ahli Lembaga Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) bagi penggal 2026-2030.

ANGKASA dalam kenyataan memaklumkan pemilihan itu berlangsung sempena Perhimpunan Agung ICA 2026 di Panama, sekali gus menyaksikan Malaysia terus mengekalkan kedudukan dalam barisan kepimpinan tertinggi badan induk gerakan koperasi dunia.

Bagi penggal 2022-2026, jawatan berkenaan disandang Naib Presiden ANGKASA Datuk Kamarudin Ismail.

“Seramai 15 Ahli Lembaga dipilih daripada 24 calon untuk berkhidmat bagi penggal 2026 hingga 2030. Daripada jumlah tersebut, tujuh merupakan Ahli Lembaga yang dipilih semula manakala lapan lagi merupakan Ahli Lembaga baharu termasuk Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah dari Malaysia.

“Pemilihan tersebut disertai oleh 116 pengundi yang mewakili 193 organisasi anggota ICA dari 66 negara, sekali gus memperlihatkan penyertaan anggota ICA dari pelbagai rantau dalam proses pemilihan barisan kepimpinan bagi tempoh empat tahun akan datang,” menurut kenyataan itu hari ini.

Pada perhimpunan agung berkenaan, Dr Ariel Guarco dari Argentina dipilih semula tanpa bertanding sebagai Presiden ICA.

Lembaga Global ICA pula dianggotai 30 anggota terdiri daripada Presiden, empat Naib Presiden serantau, lapan wakil organisasi sektor, 15 Ahli Lembaga serta Presiden Jawatankuasa Belia dan Presiden Jawatankuasa Kesaksamaan Gender.

Abdul Fattah dalam kenyataan sama berkata kejayaan itu merupakan satu penghormatan dan amanah besar bukan sahaja kepada ANGKASA, malah keseluruhan gerakan koperasi Malaysia yang merangkumi 16,468 koperasi dengan 7.3 juta ahli.

“Kemenangan ini adalah kemenangan gerakan koperasi Malaysia. Ia membuktikan keyakinan pemimpin koperasi antarabangsa terhadap kemampuan Malaysia untuk terus menyumbang idea, pengalaman dan kepimpinan dalam menentukan hala tuju gerakan koperasi di peringkat global.

“ANGKASA akan menggunakan platform ini untuk memastikan suara dan kepentingan koperasi Malaysia terus diberi perhatian, selain memperluas jaringan strategik, kerjasama ekonomi dan kepakaran antara koperasi Malaysia dengan koperasi di seluruh dunia,” katanya.

Abdul Fattah yang juga Presiden Pertubuhan Koperasi ASEAN (ACO) dan Naib Presiden Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia Pasifik (ICA-AP) berkata kedudukan dalam Lembaga ICA membuka ruang lebih luas kepada ANGKASA untuk mengetengahkan perspektif gerakan koperasi Malaysia dalam pembentukan dasar dan agenda koperasi antarabangsa.

Beliau berkata kedudukan itu penting khususnya dalam aspek pembangunan mampan, keterangkuman ekonomi, pengukuhan perdagangan antara koperasi serta pembangunan komuniti.

Perhimpunan Agung ICA 2026 bertemakan ‘Building Bridges: Cooperative Contribution for Peaceful World’ berlangsung dalam rangka ICA Global Conference & Assemblies 2026 yang menghimpunkan pemimpin dan organisasi antarabangsa bagi membincangkan peranan koperasi dalam membina keamanan, memperkukuh kerjasama serta mendepani perubahan landskap ekonomi global.

Seramai 25 anggota delegasi koperasi Malaysia diketuai Abdul Fattah menyertai persidangan itu, melibatkan wakil Institut Koperasi Malaysia, ANGKASA, Koperasi Pembiayaan Syariah ANGKASA Berhad, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad dan Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad serta beberapa koperasi lain.

ANGKASA menjadi anggota tetap ICA sejak 16 Mei 1972 dan terus memainkan peranan aktif dalam jaringan serta kepimpinan gerakan koperasi antarabangsa.

Ditubuhkan pada 1895, ICA merupakan badan induk gerakan koperasi dunia yang mewakili kira-kira satu bilion ahli daripada sekitar tiga juta koperasi di seluruh dunia.

-- BERNAMA