Am 16/09/2026 07:50 PM

2,403 PJRM Dilaksanakan Di Sarawak Setakat Ogos - Armizan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
2,403 PJRM Dilaksanakan Di Sarawak Setakat Ogos - Armizan
kredit: FB Armizan Mohd Ali

KUCHING, 16 Sept (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melaksanakan 2,403 Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di seluruh Sarawak bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Ogos tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata pelaksanaan PJRM di Sarawak terus meningkat setiap tahun.

“Untuk rekod, di Sarawak sebanyak 736 siri PJRM diadakan pada 2023 dan 1,148 siri pada 2024. Pada 2025, jumlahnya mencecah 2,584 siri.

“Peningkatan pelaksanaan ini didorong oleh sambutan menggalakkan daripada masyarakat serta penambahbaikan dilaksanakan dari tahun ke tahun,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Armizan berkata bermula 2024, PJRM telah diinstitusikan sebagai program tetap kerajaan dengan menetapkan peruntukan khusus di bawah agenda Payung RAHMAH dalam belanjawan tahunan.

Katanya, kekerapan pelaksanaan ditetapkan minimum tiga kali sebulan di 600 Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara, termasuk 40 zon di Wilayah Persekutuan.

“Pada masa sama, ruang penglibatan syarikat, perniagaan dan koperasi bagi subsektor peruncitan dalam pelaksanaan PJRM terus diperluas.

“Akses rakyat kepada PJRM turut dipertingkatkan melalui tiga kaedah pelaksanaan, iaitu di dalam premis, luar premis dan PJRM bergerak, selain penganjuran PJRM bertema melibatkan musim perayaan, cuti persekolahan dan pelbagai lagi,” katanya.

-- BERNAMA