KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Hubungan dua hala Malaysia dan Afrika Selatan terus berkembang susulan libat urus peringkat tinggi pada 2025, dengan perdagangan dua hala berjumlah kira-kira US$1.33 bilion tahun lepas, kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Afrika Selatan Datuk Yubazlan Yusof.
Dalam ucapannya pada majlis sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Pretoria pada Selasa, Yubazlan turut mengetengahkan peluang lebih luas bagi kedua-dua negara dalam bidang perdagangan dan pelaburan, kesalinghubungan maritim, pertahanan, ekonomi halal, teknologi hijau serta inovasi.
“Yubazlan turut menekankan kepentingan hubungan rakyat dengan rakyat dengan memaklumkan bahawa lebih 250 rakyat Afrika Selatan telah menyertai program latihan dan pembangunan kapasiti di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) selama ini,” menurut Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Pretoria dalam kenyataan.
Pesuruhjaya Tinggi itu turut menggalakkan peningkatan pelancongan dua hala sempena Tahun Melawat Malaysia 2026-2027 serta menekankan kepentingan memulihkan semula penerbangan komersial terus antara Kuala Lumpur dan Johannesburg bagi memperkukuh hubungan dalam bidang perniagaan, pelancongan dan institusi.
Sambutan bertemakan “Malaysia MADANI: Kemakmuran Bersama” itu menegaskan semula komitmen Malaysia untuk mempererat hubungan dengan Afrika Selatan dalam bidang perdagangan, pelaburan, kerjasama teknikal, pendidikan, pelancongan, kebudayaan serta pertukaran rakyat dengan rakyat.
Dianjurkan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Pretoria, acara itu dihadiri kira-kira 200 tetamu termasuk wakil kerajaan Afrika Selatan, kor diplomatik, Friends of Malaysia serta alumni MTCP dari Afrika Selatan dan Botswana.
Pemangku Timbalan Ketua Pengarah bagi Asia dan Asia Barat di Jabatan Hubungan Antarabangsa dan Kerjasama (DIRCO), Duta Dave Malcomson mewakili kerajaan Afrika Selatan pada majlis itu.
Sambil mengucapkan tahniah kepada Malaysia sempena sambutan berkenaan, beliau berkata hubungan Malaysia-Afrika Selatan diperkukuh menerusi hubungan sejarah dan budaya serta komitmen bersama terhadap multilateralisme, keadilan sosial dan kerjasama Selatan Global.
Majlis itu turut mengetengahkan budaya dan layanan mesra Malaysia, dengan rakyat Malaysia generasi muda mempersembahkan lagu patriotik “Saya Anak Malaysia”, diikuti persembahan silat oleh kakitangan Suruhanjaya Tinggi.
Tetamu turut berpeluang menikmati kuih-muih tradisional Malaysia yang disediakan Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri Malaysia (PERWAKILAN) - Pretoria serta menyaksikan demonstrasi penyediaan teh tarik.
-- BERNAMA