Am 16/09/2026 10:52 PM

Kebakaran Terbuka Di Johor Melonjak 226 Peratus, 4,222 Kes Direkodkan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kebakaran Terbuka Di Johor Melonjak 226 Peratus, 4,222 Kes Direkodkan

JOHOR BAHRU, 16 Sept (Bernama) – Kes kebakaran terbuka di Johor melonjak kira-kira 226 peratus kepada 4,222 kes bagi tempoh Januari hingga 11 Sept tahun ini berbanding hanya 1,294 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor dalam kenyataan memaklumkan peningkatan itu membabitkan tambahan 2,928 kes kebakaran terbuka dalam tempoh berkenaan.

“Sebanyak 560 kes direkodkan sepanjang Ogos, manakala 418 kes dicatatkan dalam tempoh 11 hari pertama September,” menurut kenyataan itu.

Kebakaran terbuka yang direkodkan merangkumi kejadian melibatkan lalang, semak, hutan, kawasan pertanian, ladang serta tanah gambut.

JBPM Johor memaklumkan peningkatan kes dalam tempoh fenomena El Niño mendapat perhatian pihaknya, khususnya ketika keadaan cuaca panas dan kering yang boleh menyebabkan api lebih mudah merebak selain kebakaran di kawasan tertentu seperti tanah gambut mengambil masa lebih lama untuk dipadamkan.

JBPM Johor turut mengingatkan aktiviti pembakaran bahan keagamaan yang tidak dikawal dengan baik berpotensi mencetuskan kebakaran terbuka dan menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka terutama ketika cuaca panas dan kering.

Orang ramai juga diminta memastikan sebarang aktiviti melibatkan api dilakukan dengan berhati-hati dan tidak meninggalkan sumber api tanpa pengawasan kerana kebakaran tidak terkawal boleh mengancam nyawa dan harta benda selain menyumbang kepada pencemaran udara serta jerebu.

-- BERNAMA