KUALA NERUS, 16 Sept (Bernama) -- DPMM FC bangkit daripada kekalahan pada perlawanan pertama untuk menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-1, sekali gus mengesahkan kemaraan ke suku akhir Piala FA musim ini dengan agregat 5-4.
Pada aksi kedua pusingan 16 terbaik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di sini malam ini, DPMM FC yang tewas 2-3 pada perlawanan pertama, mempamerkan aksi lebih kemas untuk menamatkan cabaran skuad Penyu di laman sendiri.
Pasukan pelawat membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi Danial Ahmad Asri yang menanduk masuk sepakan penjuru Muhammad Farris Izdiham Awang Kechik.
Tersentak dengan jaringan itu, skuad bimbingan Mohd Nafuzi Zain meningkatkan tekanan dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-16, namun percubaan Victor Ruiz melambung melepasi palang.
Sepuluh minit kemudian, TFC sekali lagi mengancam menerusi Romel Morales, tetapi tandukannya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol.
Pada minit ke-32, skuad kendalian Jamie McAllister hampir menggandakan kelebihan, namun rembatan Miguel Oliveira turut tersasar di sebelah kanan gawang.
Ketika babak pertama berbaki seminit, Manuel Ott akhirnya berjaya menyamakan kedudukan, sekali gus menceriakan hampir 2,000 penyokong tuan rumah.
Bagaimanapun, kegembiraan skuad Penyu tidak bertahan lama apabila Oliveira kembali meletakkan DPMM FC di depan menerusi jaringan pada minit ke-54 sebelum Jordan Murray menambah gol ketiga 10 minit kemudian.
TFC berpeluang merapatkan kedudukan pada minit ke-80, namun percubaan pemain gantian Elvis Kasomba melambung tinggi melepasi palang.
Skuad Penyu terus menggandakan asakan pada penghujung permainan dan memperoleh dua lagi peluang, namun gagal dimanfaatkan sekali gus menyaksikan DPMM FC mempertahankan kelebihan 3-1 hingga wisel penamat.
-- BERNAMA