Ekonomi 16/09/2026 11:07 PM

CAEXPO 2026 Tumpu Perdagangan, AI Dan Perusahaan Sebagai Pemacu Utama Kerjasama China-ASEAN

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
CAEXPO 2026 Tumpu Perdagangan, AI Dan Perusahaan Sebagai Pemacu Utama Kerjasama China-ASEAN

Daripada Siti Fauziah Hasan

NANNING (China), 16 Sept  (Bernama) -- Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-23 2026 dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN (CABIS) tahun ini memberi tumpuan kepada kerjasama ekonomi dan perdagangan, kecerdasan buatan (AI) serta penyertaan lebih meluas perusahaan sebagai pemacu utama kerjasama China-ASEAN.

Timbalan Komander CAEXPO dan CABIS ke-23 Li Pan berkata acara tahun ini memperkenalkan beberapa elemen dan penambahbaikan baharu berbanding penganjuran sebelum ini.

“CAEXPO dan CABIS tahun ini mengetengahkan kerjasama ekonomi dan perdagangan sebagai teras utama, AI sebagai fokus serta perusahaan sebagai penggerak utama.

“Selain itu, jumlah keluasan pameran meningkat kepada 170,000 meter persegi berbanding 160,000 meter persegi tahun lalu, dengan kira-kira 2,200 perusahaan China dan hampir 1,000 perusahaan ASEAN mengambil bahagian,” katanya ketika berucap pada majlis bersama media sempena CAEXPO dan CABIS di sini hari ini.

CAEXPO ke-23 dijadual berlangsung dari 17 hingga 21 Sept di Nanning, manakala CABIS diadakan dari 17 hingga 19 Sept.

Li yang juga Pengarah Jabatan Berita dan Publisiti serta Timbalan Ketua Jabatan Publisiti Jawatankuasa Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang Parti Komunis China (CPC) berkata ruang pameran turut diperluas daripada dua kepada tiga, dengan penambahan Nanning AI Compound, manakala kira-kira 50 acara sokongan berkaitan ekonomi dan perdagangan akan diadakan sepanjang ekspo itu yang diterajui negara-negara ASEAN.

Menurut Li penyertaan perusahaan dan pihak bukan kerajaan turut meningkat, termasuk pengenalan model pameran “syarikat besar membimbing syarikat kecil” buat pertama kali, yang membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengikuti perusahaan peneraju untuk mengembangkan pasaran masing-masing.

Pada acara itu, buat pertama kalinya turut diadakan persidangan padanan dan jaringan usahawan ASEAN, dengan pakar memberikan penjelasan mengenai peluang perniagaan “Bab 3.0” bagi membantu mewujudkan lebih banyak peluang kerjasama.

Penyertaan ASEAN bagi ekspo tahun ini juga mencatat sejarah apabila Timor-Leste mengambil bahagian buat kali pertama sebagai penganjur bersama.

“Ini mewujudkan suasana seolah-olah foto keluarga apabila kesemua 11 negara anggota, selepas peluasan ASEAN, berkumpul di Nanning,” kata Li.

Ekspo itu turut memperkenalkan pameran yang mengetengahkan keperluan negara-negara ASEAN.

“Melalui pendekatan negara-negara ASEAN mengemukakan keperluan dan perusahaan China menawarkan penyelesaian, ia membolehkan keperluan industri dipadankan dengan keupayaan syarikat yang sesuai, sekali gus menarik penyertaan banyak perusahaan ASEAN,” katanya.

Mengenai AI, Li berkata acara tahun ini menggunakan pendekatan bersepadu yang merangkumi dimensi pengguna, perusahaan, kerajaan dan antarabangsa bagi mempamerkan teknologi serta aplikasi AI.

Beliau turut menekankan pembukaan Terusan Pinglu hari ini yang disifatkannya sebagai perkembangan penting dalam meningkatkan kesalinghubungan China-ASEAN.

Sementara itu, Li berkata tahun ini juga merupakan ulang tahun ke-35 hubungan dialog China-ASEAN dan ulang tahun kelima Perkongsian Strategik Komprehensif China-ASEAN. 

Acara CAEXPO dan CABIS pula menarik hampir 2,000 wartawan daripada lebih 170 organisasi media China dan asing ke Guangxi.

-- BERNAMA