Am 16/09/2026 10:46 PM

Sarawak Mahu Terus Maju, Makmur Dalam Malaysia - Abang Johari

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Sarawak Mahu Terus Maju, Makmur Dalam Malaysia - Abang Johari
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyampaikan ucapan pada Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching hari ini. Tema rasmi Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 ialah Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUCHING, 16 Sept (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sarawak mempunyai perancangan jelas untuk memastikan negeri itu terus maju dan makmur dalam gagasan Malaysia yang progresif dan stabil, dengan pembangunan ekonomi negeri itu turut menjadi pemangkin kepada kekuatan negara.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata perancangan berkenaan merangkumi usaha memperkukuh sektor ekonomi, tenaga, industri dan teknologi, selain memperluas pembangunan serantau.

“Hal ini bagi memastikan Sarawak terus memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara.

“Kerajaan negeri juga mahu kemajuan yang dicapai ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat Sarawak, malah menyumbang kepada pembangunan dan kemakmuran Malaysia secara keseluruhannya,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2026 peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini malam ini.

Beliau berkata kerajaan Sarawak turut menyambut baik komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memperkasakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk persetujuan menetapkan perwakilan Parlimen Sarawak dan Sabah tidak kurang daripada satu pertiga, menentukan formula perkongsian hasil dengan Sarawak serta memperkukuh kerjasama dalam sektor pelancongan.

“Langkah ini akan membuka ruang untuk kolaborasi yang lebih kukuh antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Sarawak. 

“Saya amat berharap komitmen seperti ini akan membawa kepada kefahaman bahawa pengiktirafan hak-hak dan keistimewaan Sabah dan Sarawak adalah sebahagian daripada agenda nasional,” katanya. 

-- BERNAMA