KAHERAH, 16 Sept (Bernama-dpa) -- Sekurang-kurangnya 11 orang termasuk kanak-kanak terkorban manakala beberapa lagi cedera apabila sebuah bangunan kediaman runtuh di Bandar Gaza pada malam Selasa, menurut jurucakap pihak berkuasa pertahanan awam yang dikawal Hamas pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Jurucakap itu, Mahmud Basal berkata puluhan lagi dipercayai terperangkap di bawah runtuhan. Beliau berkata anggota penyelamat sedang mencari mangsa yang terselamat namun kekurangan peralatan dan jentera berat.
Menurut sumber Palestin, bangunan enam tingkat itu mengalami kerosakan akibat serangan Israel semasa perang Gaza.
Sepanjang konflik antara Israel dan Hamas, banyak bangunan yang strukturnya lemah akibat pertempuran dilaporkan runtuh. Tentera Israel memaklumkan pihaknya sedang meneliti laporan berkenaan.
Menurut penduduk, lebih 60 orang yang kebanyakannya kehilangan tempat tinggal akibat perang berada di dalam bangunan itu pada malam kejadian. Pertahanan awam memaklumkan mereka yang kehilangan tempat tinggal dan berlindung di khemah bersebelahan bangunan itu turut dipercayai antara mangsa.
Gencatan senjata dalam perang Gaza secara rasminya masih berkuat kuasa sejak Oktober 2025. Israel baru-baru ini meningkatkan semula serangan udaranya dengan mendakwa menyasarkan anggota kanan Hamas.
Semenanjung Gaza mengalami kemusnahan meluas dan ratusan ribu rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal. Mereka kini tinggal di tempat perlindungan sementara seperti khemah atau bangunan yang rosak dan sering berisiko runtuh.
-- BERNAMA-dpa