Am 16/09/2026 04:53 PM

Sambutan Hari Malaysia Diserikan Rekod MBOR Batu Seremban

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Sambutan Hari Malaysia Diserikan Rekod MBOR Batu Seremban
Pengarah Bahagian Governan dan Kecemerlangan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Norizam Sekak (tengah) menyertai permainan batu seremban pada penyertaan rekod Malaysia 2026 'penyertaan terbanyak permainan tradisional Batu Seremban di Taman Tasik Titiwangsa hari ini.

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Sambutan Hari Malaysia hari ini disemarakkan dengan penyertaan 676 individu daripada pelbagai lapisan masyarakat dalam permainan batu seremban, sekali gus mencipta rekod baharu Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Penyertaan Terbanyak Permainan Batu Seremban.

Pengiktirafan itu dicatat pada Majlis Penutupan Pesta Permainan Tradisional Malaysia di Pentas Utama Festival Budaya Malaysia (FBM) 2026, Taman Tasik Titiwangsa di sini, anjuran bersama Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Koperasi Hulu Selangor Bhd.

Pengarah Bahagian Governan dan Kecemerlangan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Norizam Sekak berkata pencapaian itu membuktikan permainan tradisional masih mampu menarik minat masyarakat apabila diketengahkan menerusi pendekatan kreatif, inklusif dan selari dengan perkembangan semasa.

“Pesta Permainan Tradisional Malaysia turut membuktikan keupayaan warga POLYCC dalam mengangkat warisan tradisional melalui pendekatan inovasi dan teknologi semasa,” katanya ketika merasmikan majlis berkenaan.

Pengerusi POLYCC Zon Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Azman Arshad berkata pencapaian itu merupakan detik bermakna apabila permainan tradisional berjaya diketengahkan pada skala besar dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.

“Lebih daripada sekadar mencatat rekod, usaha ini membuktikan bahawa permainan tradisional masih mampu menarik minat masyarakat dan terus diraikan oleh generasi hari ini,” katanya.

Pengarah Kolej Komuniti Hulu Selangor merangkap pengarah program Nurazureen Jaafar berkata batu seremban dipilih kerana mudah dimainkan oleh semua lapisan masyarakat, selain bagi memastikan permainan tradisional itu terus dikenali dan dipopularkan dalam kalangan generasi muda.

“Semua orang boleh main, tidak kira yang kecil atau yang besar. Sebab itulah kita memilih batu seremban sebagai satu permainan tradisional yang kita hendak rekodkan dalam MBOR pada hari ini,” katanya.

Sementara itu, peserta yang hanya mahu dikenali sebagai Daniel, 20, berkata penyertaannya dalam program itu memberi peluang untuk mengenali lebih dekat permainan tradisional yang menjadi sebahagian daripada warisan negara, selain mengeratkan hubungan sesama peserta.

“Paling saya suka dengan batu seremban ini, kita boleh main bersama-sama dengan rakan-rakan. Walaupun kenal ataupun tidak, boleh mendapatkan satu persahabatan yang baharu sekali gus merapatkan silaturahim,” kata pelajar Kolej Komuniti Kuala Langat itu.

Pesta Permainan Tradisional Malaysia yang berlangsung dari 11 hingga 16 Sept sempena FBM 2026 mengetengahkan pelbagai permainan dan aktiviti berkaitan warisan tradisional negara.

FBM 2026 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut menjadi platform memperkenalkan kepelbagaian budaya Malaysia kepada pelancong sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

-- BERNAMA