Am 16/09/2026 06:26 PM

Sukan Asia: Imbas Prestasi Terbaik, Cara Rexy Siapkan Mental Pemain

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Sukan Asia: Imbas Prestasi Terbaik, Cara Rexy Siapkan Mental Pemain
Rexy Mainaky

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan Rexy Mainaky mahu pemain negara mengimbas kembali detik serta pencapaian terbaik mereka sebagai antara persiapan mental menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Beliau berkata pendekatan itu bertujuan mengembalikan keyakinan dan motivasi pemain dengan mengingatkan mereka mengenai corak permainan serta sikap yang pernah membantu mencipta kejayaan di pentas antarabangsa.

“Jadi saya mahu menyegarkan kembali ingatan mereka dengan melihat prestasi terdahulu dan memahami mengapa mereka mampu bermain dengan baik ketika itu.

“Kita bukan sahaja melihat cara mereka bermain, tetapi juga sikap mereka di gelanggang, cara berfikir dan bagaimana mereka menghadapi setiap mata. Perkara ini juga perlu kita lihat,” katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di sini hari ini sebelum berlepas ke Jepun malam ini.

Menurut Rexy, rakaman video perlawanan terdahulu akan diteliti bukan semata-mata untuk mengkaji aspek teknikal, sebaliknya bagi memahami corak pemikiran dan tindak balas pemain ketika berdepan pelbagai situasi dalam pertandingan.

Beliau berkata perhatian turut diberikan kepada reaksi pemain selepas memenangi atau kehilangan mata, selain komunikasi dan respons terhadap pasangan masing-masing.

“Dalam video itu, kita melihat daripada pelbagai sudut termasuk bagaimana mereka mendapatkan mata, cara mereka memberi respons kepada pasangan serta ekspresi yang membantu mereka kekal bermotivasi bagi menghadapi setiap mata,” katanya.

Rexy berkata penelitian itu penting bagi membolehkan pemain mengenal pasti semula elemen yang pernah membantu mereka menampilkan prestasi terbaik untuk diterapkan pada temasya empat tahun sekali itu.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas badminton Sukan Asia adalah menerusi gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dalam acara beregu lelaki pada edisi Doha 2006.

-- BERNAMA