KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyokong pendirian tegas kerajaan untuk tidak membenarkan Malaysia menjadi laluan transit kargo yang menyokong keupayaan ketenteraan Israel.
Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata pendirian tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu semalam, disifatkan sebagai satu langkah penting yang menterjemahkan prinsip Malaysia terhadap Palestin daripada kenyataan politik kepada tindakan penguatkuasaan yang mempunyai implikasi nyata.
“Dalam keadaan Gaza terus berhadapan dengan kemusnahan besar dan penderitaan orang awam, Malaysia mempunyai tanggungjawab moral dan undang-undang untuk memastikan wilayah, pelabuhan dan kemudahan logistik negara tidak dieksploitasi bagi memudahkan sebarang penghantaran yang menyumbang kepada operasi ketenteraan Israel.
“MAPIM menegaskan bahawa prinsip ini harus dilaksanakan secara konsisten, telus dan berasaskan undang-undang Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Perdana Menteri menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam akaun X, mengulangi pendirian Malaysia untuk tidak membenarkan negara ini dijadikan sebagai laluan transit bagi sebarang kargo yang menyumbang kepada operasi ketenteraan Israel.
Sementara itu, Mohd Azmi berkata MAPIM menyokong pemeriksaan kargo mencurigakan dan siasatan terhadap sebarang pelanggaran, dengan proses berkenaan hendaklah dilakukan melalui mekanisme undang-undang yang jelas, bukti yang kukuh dan bidang kuasa agensi yang bertanggungjawab.
Langkah itu penting bagi memastikan pendirian Malaysia mempunyai kredibiliti, ketegasan dan kekuatan perundangan.
Sehubungan dengan itu, MAPIM mencadangkan kerajaan memperkukuh pemeriksaan dan pemantauan kargo yang mempunyai destinasi atau kaitan dengan entiti yang berpotensi menyumbang kepada operasi ketenteraan Israel, selain meningkatkan penyelarasan antara pihak berkuasa pelabuhan, kastam, keselamatan, perdagangan dan penguatkuasaan maritim.
MAPIM juga mencadangkan kerajaan supaya memastikan ketelusan proses siasatan, termasuk penjelasan sewajarnya kepada masyarakat apabila sesuatu penghantaran ditahan atau diperiksa, tertakluk kepada keperluan keselamatan dan undang-undang.
Selain itu, kerajaan disaran mengkaji risiko rantaian bekalan termasuk kemungkinan penggunaan syarikat perantara, transshipment, perubahan manifes atau destinasi serta struktur perdagangan yang boleh menyamarkan tujuan sebenar sesuatu penghantaran.
Kerajaan juga perlu memperkukuh kerjasama antarabangsa, khususnya dengan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan negara yang mempunyai pendirian sama bagi meningkatkan pertukaran maklumat mengenai penghantaran, yang berisiko menyumbang kepada operasi ketenteraan terhadap orang awam.
-- BERNAMA