BEIJING, 16 Sept (Bernama-CMG) -- China giat menyelaraskan tadbir urus domestik dengan kerjasama antarabangsa sehingga mencatatkan pencapaian ketara dalam usaha membanteras penipuan telekomunikasi.
Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Politik Universiti Anhui Zhang Cong berkata menerusi pelaksanaan sistem tadbir urus melibatkan seluruh masyarakat bagi membanteras penipuan telekomunikasi, China berjaya mengurangkan kes berkenaan sebanyak 15.6 peratus pada separuh pertama 2026 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, sekali gus mencatat penurunan selama 11 bulan berturut-turut.
Di peringkat antarabangsa, China menjalinkan kerjasama penguatkuasaan undang-undang dengan lebih 30 negara, melaksanakan operasi bersama, membawa pulang puluhan ribu individu yang terlibat serta menumpaskan banyak sarang sindiket penipuan.
Menerusi usaha itu, China berjaya mengubah peranannya daripada mangsa penipuan kepada peneraju tadbir urus global dalam bidang berkenaan.
China turut giat melaksanakan Inisiatif Keselamatan Global dengan membina platform kerjasama pelbagai pihak serta memanfaatkan forum kerjasama kepolisan antarabangsa dan Perikatan Anti-Penipuan Antarabangsa bagi menggalakkan kerjasama berkenaan secara berterusan dan berstruktur.
Pada masa sama, berbekalkan pengalaman tadbir urus dan kelebihan teknologi yang matang, China turut berkongsi penyelesaian serta membantu negara lain meningkatkan keupayaan membanteras penipuan.
Usaha itu membolehkan China memainkan peranan sebagai sebuah kuasa besar dalam menggalakkan pembentukan landskap tadbir urus global yang adil dan cekap bagi membanteras penipuan telekomunikasi.
-- BERNAMA-CMG