BRUSSELS, 16 Sept (Bernama-Anadolu) -- Sebanyak 832 penerbangan dan sehingga 300,000 penumpang dijangka terjejas susulan mogok pada waktu malam yang dirancang oleh pengawal trafik udara di Lapangan Terbang Charleroi, Belgium, menurut pihak berkuasa pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Mogok yang diumumkan oleh kesatuan pengawal trafik udara itu dijadual berlangsung selama 24 malam dari 16 Sept hingga 10 Okt ini, menurut penyiar berbahasa Perancis RTBF.
Penyedia perkhidmatan navigasi udara Belgium, Skeyes memaklumkan mogok itu dijangka menjejaskan 832 pergerakan penerbangan, termasuk 487 penerbangan pagi dan 345 penerbangan malam.
“Pada peringkat ini, belum dapat dinilai sepenuhnya kesan tambahan tindakan ini terhadap jadual penggiliran pesawat syarikat penerbangan yang terlibat.
“Apabila pesawat tidak dapat kembali ke Charleroi pada waktu malam, keadaan ini juga boleh memberi kesan kepada penerbangan pertama yang dijadualkan dikendalikan oleh pesawat berkenaan dari Charleroi pada keesokan paginya,” menurut Skeyes.
Menteri Lapangan Terbang Wallonia Cecile Neven berkata tindakan itu boleh “memberi kesan langsung kepada Lapangan Terbang Charleroi, rakan kongsinya dan sehingga 300,000 penumpang.”
Pihak lapangan terbang memaklumkan mogok itu boleh menjejaskan sehingga 300,000 penumpang, atau lebih sedikit daripada 5,500 penumpang sehari.
-- BERNAMA-ANADOLU