Am 16/09/2026 02:26 PM

Program Bermalam Di Muzium 2026 Dekatkan Generasi Muda Dengan Tugas Kurator

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Program Bermalam Di Muzium 2026 Dekatkan Generasi Muda Dengan Tugas Kurator
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Perancangan Strategik) Kementerian Perpaduan Negara Mohamad Sobri Mat Daud (tengah) bergambar bersama rakan kolaboratif pada Majlis Penutupan Program Bermalam di Muzium yang berlangsung di Dataran Muzium Negara.

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Daripada sekadar melihat artifak di sebalik kaca, generasi muda diberi peluang menyelami tugas seorang kurator menerusi Program Bermalam Di Muzium 2026 yang mengetengahkan tema “Kurator Muda”, sekali gus menyemai minat untuk mengenali, menghargai dan memelihara warisan negara.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Perancangan Strategik), Kementerian Perpaduan Negara Mohamad Sobri Mat Daud berkata program yang dilaksanakan serentak di 32 muzium di seluruh negara itu semakin mendapat sambutan, dengan penyertaan 2,373 pelajar.

Beliau berkata inisiatif berkenaan penting bagi memastikan pembelajaran sejarah tidak terhad di bilik darjah, sebaliknya dapat dihayati secara langsung menerusi koleksi dan artifak yang dipamerkan di muzium.

“Apabila datang ke muzium, apa yang dipelajari di sekolah dapat dihayati sendiri melalui artifak, di samping mengeratkan hubungan antara pelajar daripada pelbagai kaum.

“Kita mahu merapatkan hubungan, membina jati diri dan keyakinan diri pelajar. Dengan mengenali artifak serta ketamadunan negara, mereka akan lebih menyayangi negara, pada masa sama mengukuhkan lagi ikatan perpaduan antara satu sama lain. Itu hasrat kami,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutupan Program Bermalam Di Muzium 2026 di Dataran Muzium Negara, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Muzium Malaysia Mohamad Shawali Badi, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Akademi Kenegaraan Malaysia Saliza Mokhtar, Timbalan Ketua Pengarah (Permuziuman) Jabatan Muzium Malaysia Mohd Razaimi Hamat dan Pengarah Muzium Negara Zamrul Amri Zakaria.

Mohamad Sobri berkata pendedahan berkenaan diharap dapat membentuk generasi muda sebagai pelapis kepimpinan negara yang mempunyai jati diri kukuh serta semangat patriotisme tinggi.

Sementara itu, Mohamad Shawali berkata pemilihan tema “Kurator Muda” tahun ini memberikan peluang kepada pelajar memahami tugas sebenar kurator dalam memelihara warisan negara.

Beliau berkata kurator bertanggungjawab melaksanakan pelbagai aktiviti permuziuman seperti penyelidikan, pemeliharaan, pengurusan koleksi dan pameran.

“Dengan memahami peranan kurator, kita berharap pelajar akan lebih menghargai usaha yang dilakukan oleh muzium, bukan sahaja sebagai tempat menyimpan artifak sejarah, tetapi juga memelihara dan menyampaikan ilmu kepada masyarakat,” katanya.

Pelbagai aktiviti disusun sepanjang dua hari program berkenaan yang bermula semalam termasuk Program Kurator Muda, Slot Ceramah Bersama Akademi Kenegaraan Malaysia, Sesi Perkongsian Ilmu Bersama Kurator, Fun Walk Kurator Muda dan Eksplorasi Muzium.

Program itu mendapat kerjasama Kementerian Perpaduan Negara, Jabatan Muzium Malaysia, Kementerian Pendidikan, institusi pendidikan, muzium negeri dan muzium institusi serta rakan strategik termasuk Akademi Kenegaraan Malaysia, Yayasan MR DIY, Thong Bowl dan Yeos.

-- BERNAMA