KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) bersedia mempertimbangkan pemberian ganjaran khas kepada atlet e-sukan negara sekiranya berjaya meraih pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun yang membuka tirainya Sabtu ini.
Presiden MESF Muhammad Naim Al Amin Saharudin berkata ganjaran itu sebagai tanda penghargaan kepada atlet yang berjaya melakar sejarah dengan menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia dalam acara e-sukan sejak ia dipertandingkan pada temasya berkenaan.
“Sudah tentu kami akan memberikan ganjaran kepada mana-mana atlet yang berjaya membawa pulang pingat emas. Bagaimanapun, saya perlu berbincang dengan pihak pengurusan terlebih dahulu mengenai bentuk ganjaran berkenaan.
“Mungkin saya akan umumkan ganjaran itu sebelum mereka berangkat ke Sukan Asia nanti,” katanya semasa menghadiri Majlis Makan Malam Apresiasi dan Pelancaran Logo Baharu MESF di sini semalam.
Beliau berkata skuad e-sukan Malaysia dilihat berpotensi untuk meraih emas, terutama dalam acara Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), Honor of Kings (HOK), Identity V dan Gran Turismo 7 (GT7).
Malaysia sebelum ini pernah meraih pingat e-sukan pada Sukan Asia Hangzhou 2022, namun pencapaian terbaik negara setakat ini adalah pingat perak menerusi Arena of Valor.
Skuad negara turut menyumbang pingat gangsa dalam acara Dota 2 pada temasya berkenaan.
Sukan Asia Aichi-Nagoya dijadualkan berlangsung dari 19 Sept hingga 4 Okt ini manakala saingan e-sukan akan diadakan dari 23 Sept hingga 2 Okt di Aichi Sky Expo.
-- BERNAMA