Am 15/09/2026 08:26 PM

LRA Chicha 2 Siap, Bakal Manfaatkan Lebih 20,000 Pengguna - PAAB

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
LRA Chicha 2 Siap, Bakal Manfaatkan Lebih 20,000 Pengguna - PAAB
Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Ir Zulkiflee Omar

KOTA BHARU, 15 Sept (Bernama) -- Loji Rawatan Air (LRA) Chicha 2 di Mukim Pasir Hor yang berkapasiti 20 juta liter sehari (JLH) telah siap dan bakal memberikan bekalan air bersih kepada lebih 20,000 penduduk di sekitar Kota Bharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) Zulkiflee Omar berkata LRA berkenaan siap mengikut jadual, dan menunggu beberapa proses pengujian dan penyelesaian dokumen sebelum dapat digunakan sepenuhnya.

“Projek itu membantu mengatasi masalah kekurangan bekalan air, terutama ketika musim kemarau dan musim perayaan,” katanya kepada pemberita selepas Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kelestarian di Sekolah Kebangsaan Pasir Hor (SKPH), di sini hari ini.

Projek bernilai RM54.98 juta yang mula dibina pada 2024 itu akan membekalkan air terawat kepada pengguna di Pasir Hor, Telipot, Kota Seribong, Mulong dan Tunjong.

Sementara itu, menerusi program CSR berkenaan, PAAB menyalurkan peruntukan berjumlah RM45,000 bagi menaik taraf sistem bekalan air di bangunan surau serta memasang peranti cekap air di SKPH yang terletak bersebelahan dengan LRA Chicha 2.

Zulkiflee berkata PAAB juga melaksanakan beberapa inisiatif lain, termasuk pemasangan tangki tadahan air hujan sebagai sumber alternatif bekalan air di sekolah, pembinaan rumah hijau, pemasangan tong kitar semula, menaik taraf bilik mesyuarat sekolah serta pemasangan televisyen pintar dalam bilik darjah terpilih.

Beliau berkata inisiatif itu memberikan manfaat kepada 513 murid dan 53 guru SKPH dengan memastikan akses kepada bekalan air bersih mencukupi sepanjang sesi persekolahan.

Sebagai sebahagian daripada usaha pendidikan, PAAB turut menganjurkan Forum Kesedaran Kelestarian dengan kerjasama pihak sekolah dan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) supaya murid dapat memahami isu-isu berkaitan air, proses rawatan air dan kepentingan pemuliharaan alam sekitar.

“Matlamat utama program CSR Kelestarian ini bukan sekadar menambah baik kemudahan fizikal sekolah, tetapi turut mendidik, memupuk dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan generasi muda mengenai betapa berharganya setiap titisan air bersih yang kita nikmati pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKPH juga boleh memainkan peranan sebagai ejen perubahan dalam mendidik anak-anak supaya menghargai bekalan air bersih serta mengamalkan amalan hijau di rumah.

-- BERNAMA