KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Ekonomi penjagaan golongan berusia di Malaysia dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan warga emas Singapura yang mencari pilihan penjagaan dengan bantuan di negara ini menjelang 2030.
Pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif kumpulan teknologi hartanah antarabangsa Juwai IQI Kashif Ansari berkata dalam tempoh beberapa tahun akan datang, 83,000 warga emas Singapura dijangka memerlukan bantuan harian, dan semakin ramai antara mereka dijangka memilih kemudahan kehidupan dengan bantuan serta rumah penjagaan di Malaysia berbanding di Singapura sendiri.
"Golongan berusia Singapura sejak sekian lama telah memilih pusat penjagaan warga emas di Malaysia, dan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru–Singapura akan memudahkan mereka melawat saudara-mara mereka di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Singapura mencapai status 'masyarakat sangat tua' pada 2026, yang bermakna lebih daripada seorang bagi setiap lima penduduknya berumur 65 tahun ke atas.
Menjelang 2030, kira-kira seorang daripada setiap empat warganegara (23.9 peratus) akan berumur sekurang-kurangnya 65 tahun.
Menurut Juwai IQI, pada masa ini terdapat kira-kira 1,500 hingga 2,000 katil yang menawarkan perkhidmatan penjagaan kejururawatan dengan bilik persendirian serta kemudahan kediaman dengan bantuan dan kediaman kendiri berkonsepkan hotel di Johor, seperti Spring Valley, Econ Taman Perling, dan Genesis Life Care.
"Selain kadar penghunian yang lebih tinggi, impak terbesar 'tsunami warga emas' dari Singapura ini terhadap industri penjagaan warga emas Malaysia ialah hasil pendapatan yang jauh lebih tinggi, terutamanya di Johor.
"Kami mengunjurkan hasil boleh meningkat sebanyak RM174 juta hingga RM697 juta setahun," kata Kashif.
-- BERNAMA