Am 15/09/2026 10:37 PM

Selangor Buka 50,000 Permohonan Baharu Skim Mesra Warga Emas, OKU

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Selangor Buka 50,000 Permohonan Baharu Skim Mesra Warga Emas, OKU
fb Anfaal Saari

SHAH ALAM, 15 Sept (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor menetapkan kuota khas dengan 50,000 permohonan baharu bagi Skim Mesra secara rasmi bermula Khamis ini.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri Anfaal Saari berkata skim itu, yang disalurkan melalui Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS), adalah insentif kewangan tahunan sebanyak RM150 daripada kerajaan negeri.

Beliau berkata inisiatif itu sebagai tanda penghargaan kepada golongan warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) sempena bulan kelahiran mereka.

"Bantuan ini diberikan kepada dua kategori penerima yang layak di Selangor, iaitu warga emas berumur 60 tahun ke atas dan OKU.

"Bagi kategori warga emas, pemohon mesti berumur 60 tahun ke atas, berstatus warganegara Malaysia dan merupakan pengundi berdaftar yang menetap di negeri ini," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Anfaal berkata pemohon OKU pula perlu mempunyai kad sah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan berstatus warganegara tanpa had umur.

"Bagi syarat pengundi dan kediaman kategori itu, pemohon mesti berumur 19 tahun ke atas dan wajib mengundi serta menetap di Selangor.

“Syarat pendaftaran bagi pemohon berumur 18 tahun ke bawah pula terpakai kepada ibu atau bapa mereka," katanya.

Beliau berkata agihan manfaat itu akan dilaksanakan pada 2027 dan kerajaan negeri komited menerajui agenda kebajikan ke arah membina komuniti inklusif serta memastikan tiada golongan terpinggir.

"Sehubungan itu, mereka yang memenuhi syarat kelayakan boleh membuat pendaftaran secara dalam talian menerusi portal rasmi Skim Mesra YAWAS di laman sesawang mesra.yawas.com.my,” katanya.

Untuk maklumat lanjut atau bantuan pendaftaran, boleh menghubungi talian hotline YAWAS di 03-5481 8800 atau menghantar e-mel rasmi ke pertanyaan.yawas@gmail.com.

-- BERNAMA