KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- The Labs di Bukit Bintang City Centre (BBCC) mempamerkan kreativiti Malaysia melalui The Labs: Artist Series, projek kreatif selama empat bulan yang menampilkan enam bakat tempatan dari 12 Sept hingga Januari tahun depan.
Siri itu menghimpunkan empat artis harta intelek (IP) tempatan, iaitu Pasaroly, Guji Guji, Oh! Doodlez dan The Good Boisss, di samping artis mural Jefr Studio dan Novak Batik, dengan karya mereka dipersembahkan melalui pemasangan, pengalaman digital yang imersif, mural dan barangan dagangan.
Dalam kenyataan hari ini, Eco World Development Group Bhd (EcoWorld) menjelaskan setiap artis IP akan meneraju satu segmen sambutan perayaan, dengan Pasaroly menjadi tumpuan bagi Merdeka, diikuti Guji Guji untuk Pertengahan Musim Luruh, The Good Boisss bagi Halloween dan Oh! Doodlez pula segmen Krismas.
Ketua Pegawai Operasi BBCC Azril Rashid berkata inisiatif itu bertujuan memberikan peluang kepada orang ramai untuk menghayati seni dan kreativiti Malaysia melangkaui ruang pameran yang konvensional.
“The Labs dibina untuk orang ramai merasai pengalaman budaya dengan cara yang tidak dapat mereka temui di tempat lain. Menerusi Artist Series, kami menyerahkan ruang ini kepada beberapa bakat tempatan Malaysia yang paling menyerlah dan mempelawa orang ramai untuk berkarya, bermain dan meraikan bersama-sama mereka sepanjang musim perayaan,” katanya.
Artist Series itu, yang merupakan sebahagian daripada aspirasi besar The Labs untuk membangunkan hab pengalaman itu sebagai ruang rekreasi bandar yang mengetengahkan seni, kreativiti dan pengalaman imersif, dimulakan dengan Pasaroly.
Pengunjung boleh meneroka karya artis menerusi pameran di ruang legar tingkat bawah The Labs, sebelum menikmati tafsiran semula karya tersebut melalui pengalaman visual imersif di Zon 6 immersify KL, diikuti koleksi barangan eksklusif hasil kurasi di MM Cafe.
Sementara itu, Jefr Studio dan Novak Batik turut memperluas inisiatif kreatif itu sehingga dinding The Labs melalui dua karya mural, sekali gus menambahkan elemen kekal yang mencerminkan ekspresi seni Malaysia pada ruang berkenaan.
The Labs adalah sebahagian daripada BBCC, pembangunan bersama oleh UDA Holdings Bhd, EcoWorld dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
-- BERNAMA