PUTRAJAYA, 15 Sept (Bernama) -- Isu berkaitan pencen bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Syed Ahmad Idid Syed Abdullah terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kata Ketua Hakim Negara Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Beliau berkata pihak badan kehakiman tidak boleh menentukan siapa yang layak menerima pencen atau sebaliknya kerana perkara itu berada di bawah bidang kuasa JPA.
"Syed Ahmad Idid perlu mengemukakan permohonan kepada JPA, dan JPA akan membuat keputusan yang sewajarnya," katanya ketika menjawab soalan pemberita berhubung isu itu.
Ditanya sama ada badan kehakiman yang dipimpin beliau sejak 28 Julai 2025 bebas daripada gejala rasuah, Wan Ahmad Farid berkata setakat ini, "semuanya berada dalam keadaan baik".
"Saya tidak boleh mengatakan perkara ini dengan pasti... saya juga tidak boleh memberikan apa-apa jaminan tetapi setakat ini, semuanya berada dalam keadaan baik.
“Saya tidak mendengar apa-apa yang serupa dengan perkara yang beliau dakwa berlaku pada 1996, iaitu kira-kira 30 tahun lepas... jadi, saya harap keadaan bertambah baik," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Memperingati tiga bekas Ketua Hakim Negara dan seorang bekas Hakim Besar Malaya di Istana Kehakiman di sini hari ini.
Tokoh-tokoh yang diberi penghormatan pada majlis itu ialah Tun Mohamed Eusoff Chin, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah, Tun Abdul Hamid Mohamad dan Tan Sri Siti Norma Yaakob.
Sabtu lepas, Syed Ahmad Idid berkata beliau telah dipaksa meletakkan jawatan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 1996 selepas pihak berkuasa menemukan sepucuk surat layang yang didakwa ditulis oleh hakim berkenaan mengandungi dakwaan mengenai rasuah, salah guna kuasa, salah laku dan perbuatan lain yang tidak wajar dalam badan kehakiman.
Akibat peletakan jawatan itu, Syed Ahmad Idid, yang berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi selama enam tahun, telah kehilangan pencennya.
-- BERNAMA