Am 15/09/2026 08:20 PM

Jerebu: Sultan Pahang Titah Masjid Laksana Solat Sunat Hajat, Istisqa’

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Jerebu: Sultan Pahang Titah Masjid Laksana Solat Sunat Hajat, Istisqa’
fb Kesultanan Pahang

KUANTAN, 15 Sept (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan masjid di seluruh negeri ini melaksanakan solat sunat hajat dan Istisqa’ bagi memohon hujan serta rahmat daripada Allah SWT susulan keadaan jerebu dan peningkatan Indeks Pencemar Udara (IPU) di beberapa kawasan di Pahang.

Baginda bertitah usaha berkenaan merupakan ikhtiar umat Islam untuk memohon pertolongan dan rahmat Allah SWT agar diturunkan hujan yang dapat membantu mengurangkan keadaan jerebu serta memperbaiki kualiti udara.

“Rakyat Pahang, khususnya umat Islam diharap bersama-sama berdoa agar Allah SWT menurunkan hujan yang membawa rahmat, membersihkan udara dan mengakhiri keadaan jerebu yang sedang melanda beberapa kawasan,” titah baginda yang dimuat naik menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang. 

Dilaporkan, lima kawasan di Pahang merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat setakat 4 petang tadi iaitu Indera Mahkota Kuantan (167), Temerloh (163), Jerantut (163), Balok Baru Kuantan (162) dan Rompin (154).

-- BERNAMA