Am 15/09/2026 09:23 PM

Agong, Raja Permaisuri Nasihat Rakyat Amal Pemakaian Pelitup Muka Susulan Jerebu

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Agong, Raja Permaisuri Nasihat Rakyat Amal Pemakaian Pelitup Muka Susulan Jerebu
Kredit : FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menasihatkan rakyat supaya sentiasa menjaga kesihatan dan mengamalkan pemakaian pelitup muka susulan keadaan jerebu yang melanda negara.

Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda berdua bertitah bahawa kualiti udara yang tidak sihat boleh menjejaskan kesihatan serta menyebabkan pelbagai masalah, khususnya berkaitan sistem pernafasan.

“Justeru rakyat, khususnya warga emas, kanak-kanak, golongan yang mempunyai masalah pernafasan serta individu yang bekerja di luar, dinasihatkan supaya sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan bagi melindungi diri daripada kesan buruk pencemaran udara.

“Seri Paduka Baginda berdua turut menasihatkan orang ramai agar mengurangkan aktiviti luar, terutama ketika bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) berada pada tahap tidak sihat,” menurut hantaran itu.

Selain itu, rakyat disaran minum air secukupnya, sentiasa peka terhadap pengumuman rasmi dan mengikuti perkembangan bacaan IPU harian bagi memastikan kesihatan serta keselamatan diri dan keluarga sentiasa terpelihara.

Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah turut berharap seluruh rakyat sentiasa mengutamakan kesihatan dan mengambil langkah sewajarnya dalam menghadapi keadaan jerebu.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS), sebanyak 41 kawasan mencatat bacaan IPU pada tahap tidak sihat setakat 8 malam ini, 25 lagi merekodkan IPU tahap sederhana manakala hanya satu stesen catat IPU baik. 

-- BERNAMA