Am 15/09/2026 10:15 PM

Hari Malaysia Medan Muhasabah Nasional Bina Masyarakat Matang, Berwibawa - Wan Junaidi 

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Hari Malaysia Medan Muhasabah Nasional Bina Masyarakat Matang, Berwibawa - Wan Junaidi 
Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUCHING, 15 Sept (Bernama) -- Hari Malaysia perlu menjadi menjadi medan muhasabah nasional untuk menilai sejauh mana negara berjaya membina masyarakat matang, berwibawa dan berjiwa besar dalam mengharungi cabaran zaman.

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kekuatan sesebuah negara tidak hanya diukur melalui kemajuan ekonomi atau pembangunan fizikal malah juga bergantung kepada kematangan serta kebijaksanaan mengurus kepelbagaian yang dimiliki.

“Malaysia hari ini sedang melangkah dalam era yang menuntut daya fikir baharu. Persaingan dunia semakin kompleks, dipacu kecerdasan buatan, ekonomi digital dan perubahan geopolitik.

“Dalam keadaan ini, kita tidak boleh sekadar menjadi pengguna kepada perubahan sebaliknya perlu juga menjadi pencipta masa depan,” katanya hari ini dalam perutusan bersempena dengan sambutan Hari Malaysia 2026.

Wan Junaidi berkata Hari Malaysia juga mengingatkan seluruh rakyat bahawa kemajuan sebenar adalah apabila tiada yang tercicir daripada arus pembangunan.

Katanya golongan warga emas, orang kurang upaya, masyarakat luar bandar dan komuniti mudah terjejas hendaklah terus diberi perhatian supaya mereka turut menikmati hasil kemakmuran negara.

“Saya turut menyeru agar budaya kecemerlangan terus disemarakkan dalam setiap bidang sama ada dalam pendidikan, penyelidikan, sukan, kesenian mahupun perkhidmatan awam. Kita hendaklah sentiasa berusaha mencapai standard terbaik pada peringkat antarabangsa.

“Saya juga ingin melihat lebih ramai anak muda Sarawak tampil sebagai saintis, jurutera, pengasas syarikat teknologi, penyelidik, usahawan sosial dan pemimpin masyarakat,” katanya.

-- BERNAMA