Daripada Mohd Fharkhan Abdul Ghapar
MALÉ (MALDIVES), 15 Sept (Bernama) -- Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang kerjasama pertahanan dan hal ehwal Islam merupakan antara pencapaian utama lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Maldives, yang turut membuka ruang lebih luas bagi kerjasama ekonomi, perdagangan dan pembangunan modal insan.
Lawatan sulung Anwar ke republik kepulauan itu sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022 menyaksikan hubungan kedua-dua negara yang terjalin sejak 1968 diperkukuh menerusi kerjasama lebih konkrit dalam bidang strategik, selain komitmen kedua-dua negara untuk meningkatkan hubungan di pelbagai peringkat.
Dua MoU yang dimeterai dan disaksikan Anwar bersama Presiden Maldives Dr Mohamed Muizzu ialah MoU Kerjasama Pertahanan dan MoU Kerjasama dalam Bidang Hal Ehwal Islam, yang antara lain merangkumi keselamatan maritim, latihan dan industri pertahanan, selain pendidikan Islam, sektor halal, pentadbiran agama, wakaf, haji serta pembangunan insan.
Anwar berkata pertukaran kedua-dua MoU itu akan memperkukuh kerjasama sedia ada, selain menyediakan ruang untuk Malaysia dan Maldives memanfaatkan pengalaman serta kepakaran masing-masing.
Pertemuan empat mata antara Anwar dan Muizzu di Pejabat Presiden di sini hari ini, yang disusuli mesyuarat delegasi, turut memberi tumpuan kepada usaha memperluas hubungan ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara.
Antaranya cadangan Perjanjian Perdagangan Keutamaan (PTA), dengan perkara itu akan diteliti Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani bersama rakan sejawatnya dari Maldives bagi menentukan bidang dan produk yang boleh diberikan keutamaan.
Malaysia dan Maldives turut bersetuju memperkukuh kerjasama dalam pelaburan, pelancongan, pendidikan dan pembangunan modal insan, selain meneroka bidang baharu yang boleh memberikan manfaat bersama kepada rakyat kedua-dua negara.
“Hubungan dua hala mesti bermula dengan penghargaan yang tulus terhadap keperluan dan kekuatan antara satu sama lain, serta rasa hormat yang kita miliki pada peringkat peribadi dan negara masing-masing,” kata Anwar.
Dalam aspek kewangan, Malaysia bersetuju secara prinsip untuk menyokong permohonan Maldives bagi kemudahan bernilai USD100 juta, yang disifatkan Anwar sebagai satu bentuk pinjaman mudah yang akan dilaksanakan menerusi pihak berkuasa monetari kedua-dua negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata syarat serta mekanisme bagi kemudahan itu masih diperincikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Maldives Monetary Authority (MMA).
Bagi memastikan persetujuan yang dicapai diterjemahkan kepada tindakan, Anwar turut mencadangkan mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Maldives diadakan di Kuala Lumpur sebelum akhir tahun ini bagi menilai kemajuan kerjasama, menyelesaikan perkara tertangguh serta meneroka bidang baharu.
Selain agenda dua hala, Anwar dan Muizzu bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa, dengan kedua-dua negara memperlihatkan pendirian yang selari, khususnya dalam isu Palestin.
Anwar menyatakan penghargaan terhadap pendirian tegas Muizzu dan Maldives dalam mempertahankan hak rakyat Palestin, selain menegaskan komitmen Malaysia terhadap keamanan, keadilan dan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.
Di sebalik pelbagai hasil konkrit lawatan itu, Anwar turut membawa mesej lebih luas mengenai peranan yang boleh dimainkan negara kecil dalam mendepani cabaran dunia.
Anwar berkata Malaysia dan Maldives memahami keterbatasan masing-masing, namun saiz negara tidak seharusnya menjadi penghalang untuk memainkan peranan bermakna dalam masyarakat antarabangsa.
Selain pertemuan dengan Muizzu, Anwar turut menerima kunjungan hormat Naib Presiden Maldives Hussain Mohamed Latheef, Yang Dipertua Majlis Rakyat Abdul Raheem Abdulla dan Menteri Luar Maldives secara berasingan.
Pertemuan berkenaan antara lain memperteguh hubungan di peringkat kepimpinan serta menyentuh usaha memperluas kerjasama dalam pendidikan tinggi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), latihan profesional serta pembangunan modal insan.
Keakraban hubungan kedua-dua negara turut terserlah sejak ketibaan Anwar di Malé apabila beliau disambut sendiri oleh Muizzu, malah Perdana Menteri turut diberikan sambutan rasmi penuh di Republic Square, mercu tanda utama di ibu negara republik kepulauan itu.
Lawatan pada 14 hingga 15 Sept itu adalah atas jemputan Muizzu dan merupakan lawatan balas susulan kunjungan rasmi Presiden Maldives ke Malaysia pada April 2025.
Anwar diiringi Johari, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan serta pegawai kanan kerajaan, selain turut disertai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka dan Maldives Badli Hisham Adam.
Maldives merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia di Asia Selatan pada 2025 dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM792 juta, manakala eksport Malaysia ke republik itu berjumlah RM786.2 juta.
-- BERNAMA