Am 15/09/2026 10:14 PM

Matebedi Gesa Atlet Manfaat Kem Latihan Akhir Di Sendai

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Matebedi Gesa Atlet Manfaat Kem Latihan Akhir Di Sendai
Jurulatih dari Afrika Selatan, Thabo Matebedi yang juga Ketua Jurulatih Pecut Kebangsaan ketika sidang media sebelum berlepas ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di MSN Bukit Jalil, hari ini. Sukan Asia itu akan berlangsung di Aichi-Nagoya, Jepun dari 19 September hingga 4 Oktober ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Memberi tumpuan sepenuhnya kepada tiga perkara iaitu latihan, pemulihan dan pemakanan menjadi fokus utama ketua jurulatih pecut kebangsaan Thabo Matebedi ketika membawa skuad olahraga negara ke kem latihan terakhir di Sendai, Jepun sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Kem latihan berintensiti tinggi itu yang bertujuan memastikan kontinjen negara berada pada tahap prestasi terbaik sebelum temasya yang berlangsung dari 19 Sept hingga 4 Okt ini, dirangka secara strategik bagi menyingkirkan gangguan serta memastikan atlet memberi tumpuan sepenuhnya kepada persediaan dan prestasi masing-masing.

Acara olahraga pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dijadual berlangsung dari 23 hingga 29 Sept.

Matebedi berkata berada di luar persekitaran biasa di Malaysia merupakan langkah penting bagi memastikan atlet dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada latihan, di samping mempersiapkan mental mereka untuk menghadapi persaingan di pentas antarabangsa.

“Di kem latihan, perkara pertama adalah memastikan atlet fokus. Jadi apabila kita berada di luar Malaysia, tidak banyak aktiviti lain yang boleh dilakukan.

“Ada tiga perkara yang boleh dilakukan iaitu latihan, pemulihan dan makan,” katanya ketika ditemui di Bukit Jalil, di sini, sebelum berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Selain aspek kecergasan individu, Matebedi turut menekankan kepentingan keserasian dalam pasukan acara lari berganti-ganti, sambil menjelaskan bahawa kejayaan pertukaran baton bukan sekadar bergantung kepada kepantasan pelari di trek.

Beliau berkata membina kepercayaan yang kukuh antara anggota pasukan amat penting, terutama dalam usaha mewujudkan keserasian antara atlet yang datang daripada latar belakang dan negeri berbeza.

“Lari berganti-ganti bagi saya bukan hanya mengenai sejauh mana pantas anda boleh berlari. Ia juga mengenai mewujudkan kepercayaan dalam kalangan atlet itu sendiri,” katanya.

Menurut jurulatih dari Afrika Selatan itu, berada dalam persekitaran yang sama selama beberapa hari secara berterusan dapat membantu mengeratkan hubungan antara atlet, sekali gus membentuk satu pasukan yang lebih bersatu.

“Perlu diingat, atlet ini adalah atlet kebangsaan dan mereka lebih terbiasa bergerak secara individu berdasarkan negeri masing-masing. Tetapi kita perlu mewujudkan keserasian supaya mereka dapat bekerjasama sebagai satu pasukan.

“Jadi, jika mereka menghabiskan masa seminggu atau lima hari bersama di tempat yang sama, mereka akan mula membina kepercayaan antara satu sama lain,” katanya.

-- BERNA​MA