Am 15/09/2026 09:04 PM

Ops Kenderaan Perdagangan: JPJ Keluar 33 Saman, Tahan Lelaki Warga India

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Ops Kenderaan Perdagangan: JPJ Keluar 33 Saman, Tahan Lelaki Warga India
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat menunjukkan antara kenderaan berat yang ditahan untuk pemeriksaan dalam Op Kenderaan Perdagangan di kawasan rehat dan rawat (R&R) Rawang.

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menahan seorang lelaki warga India selepas dikesan memandu kenderaan perdagangan tanpa lesen sah menerusi Ops Kenderaan Perdagangan hari ini.

Pengarahnya Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata siasatan mendapati warga asing yang menerima pendapatan mencecah RM4,000 sebulan itu tidak mempunyai dokumen kerja, sebaliknya hanya memiliki pasport antarabangsa.

Beliau berkata lelaki berkenaan juga dipercayai menetap secara haram di negara ini sejak sembilan tahun lepas dan mengaku mula berkhidmat sebagai pemandu pada 2024.

“Suspek itu antara yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan bersasar berkenaan. Kenderaan berat dipandunya antara dua kenderaan disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Tindakan segelintir majikan atau pemilik kenderaan mengupah warga asing tanpa lesen demi mengaut keuntungan disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab kerana mempertaruhkan keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan di kawasan rehat dan rawat (R&R) Rawang dekat sini hari ini.

Dalam operasi dua hari bermula semalam di Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) melibatkan laluan Shah Alam-Tanjung Malim, JPJ Selangor memeriksa 85 kenderaan perdagangan dengan 33 daripadanya disaman kerana memandu secara berterusan di lorong kanan.

Ahmad Kamarunzaman berkata kesalahan itu disiasat di bawah Kaedah 4A Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, yang memperuntukkan larangan berbuat demikian terhadap kenderaan barangan atau kenderaan perkhidmatan awam.

"JPJ Selangor memandang serius kesalahan ini kerana tindakan memandu kenderaan berat secara berterusan di lorong paling kanan menghalang pergerakan kenderaan lain untuk memotong dengan selamat.

"Tindakan tersebut berpotensi berlakunya brek mengejut, pertukaran lorong secara berisiko serta gangguan kepada kelancaran aliran trafik yang akhirnya meningkatkan risiko kemalangan,” katanya.

Beliau berkata setakat 31 Ogos, JPJ Selangor memeriksa 427,938 kenderaan dengan 18,726 daripadanya dikenakan pelbagai tindakan penguatkuasaan.

Ahmad Kamarunzaman turut mengingatkan pemandu kenderaan perdagangan supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya selain menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat atau aduan berhubung kesalahan lalu lintas menerusi aplikasi MyJPJ, e-Aduan@JPJ atau e-mel aduantrafik@jpj.gov.my.

-- BERNAMA