Am 15/09/2026 08:18 PM

Jurufoto The Borneo Post Terima Bantuan Tabung Kasih@HAWANA X TM

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Jurufoto The Borneo Post Terima Bantuan Tabung Kasih@HAWANA X TM
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil (empat,kiri) menyampaikan Tabung Kasih@HAWANA X TM kepada petugas The Borneo Post, Chimon Anak Upon (kanan) ketika menziarahi beliau di kediamannya. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUCHING, 15 Sept (Bernama) -- Jurufoto The Borneo Post Chimon Upon hari ini menerima sumbangan menerusi Tabung Kasih@HAWANA X TM yang diserahkan oleh Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil di kediamannya di Tabuan Dayak di sini hari ini. 

Kediaman Chimon, 59, mengalami kerosakan pada 25 Ogos lepas susulan kejadian serpihan bumbung bangunan bersebelahan terjatuh dan menimpa rumahnya sehingga mengakibatkan kerosakan struktur termasuk keretakan dinding dan masalah pendawaian. 

“Saya sangat bersyukur kerana kejadian itu berlaku di siang hari dan semua ahli keluarganya berada di luar rumah,” kata Fahmi kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan itu. 

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang agensi berita berkenaan Arul Rajoo Durar Raj.

Hadir sama Pengurus Besar TM One Sarawak Mohd Zulkifli Ismuni.

Fahmi berkata beliau turut meminta pihak TM melakukan pemeriksaan terhadap kemudahan dan kabel milik syarikat itu termasuk perkhidmatan Unifi di kediaman Chimon bagi memastikan tiada kerosakan susulan insiden berkenaan.

“Setakat ini, tidak ada apa-apa aduan tentang perkhidmatan Unifi di rumah ini,” katanya sambil menambah jika jurufoto itu memerlukan sebarang bantuan, perkara tersebut boleh disampaikan kepada pihaknya melalui Persatuan Wartawan Bahagian Kuching. 

Dalam pada itu, beliau berkata setakat 15 Sept lepas, seramai 845 warga media telah menerima manfaat menerusi Tabung Kasih@HAWANA dengan jumlah keseluruhan RM2.48 juta.

Sementara itu, Sekretariat HAWANA dalam kenyataan memaklumkan Tabung Kasih@HAWANA X TM adalah inisiatif yang diwujudkan menerusi sumbangan dana tanggungjawab sosial korporat Telekom Malaysia (TM) bagi memperluas bantuan kepada pengamal media yang memerlukan. 

-- BERNAMA