SEREMBAN, 15 Sept (Bernama) -- Kualiti udara di Nilai dan Seremban berada pada tahap tidak sihat susulan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) masing-masing mencecah 155 dan 153 setakat pukul 4 petang hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Suhaimizan Bizar berkata Port Dickson pula merekodkan bacaan IPU 93 dalam tempoh sama.
“Orang ramai, khususnya di kawasan yang mencatatkan bacaan tidak sihat, dinasihatkan supaya sentiasa memantau perkembangan IPU serta mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah kesihatan juga disaran mengurangkan aktiviti luar sekiranya keadaan kualiti udara bertambah buruk.
Suhaimizan berkata orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat terkini daripada sumber rasmi berhubung bacaan IPU sebelum menjalankan aktiviti di luar rumah.
-- BERNAMA