PUTRAJAYA, 15 Sept (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengemukakan pelbagai cadangan inisiatif berkaitan agenda pembangunan infrastruktur negara kepada Kementerian Kewangan (MoF) untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata KKR juga telah mengadakan perbincangan serta penelitian bagi mengenal pasti keperluan yang perlu diberi perhatian menerusi Belanjawan 2027.
"Banyak sangat 'wish list' KKR. Tak apa, kita masih dalam (proses). Memang kita dah bincang, dah mendalami apa yang kita (KKR) perlukan. Jadi 'wish list' kita dah hantar, tunggu lah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Malaysia BIM Day 2026: Putrajaya Digital Built di sini hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.
Nanta berkata KKR menerima peruntukan pembangunan terbesar dalam kalangan 28 kementerian, termasuk RM9.6 bilion atau hampir 10 peratus daripada keseluruhan RM81 bilion Perbelanjaan Pembangunan (DE) pada 2026.
Belanjawan 2027 dijangka dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Okt ini.
-- BERNAMA