Ekonomi 15/09/2026 03:22 PM

Ekspo Automotif MIAPEX 2026 Disasar Jana Jualan RM12 Juta

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Ekspo Automotif MIAPEX 2026  Disasar Jana Jualan RM12 Juta
Credit: MIAPEX

SERI KEMBANGAN, 15 Sept (Bernama) -- Acara Malaysia International Automotive & Parts Expo (MIAPEX) 2026 pada bulan depan, disasar menjana jualan kira-kira RM12 juta menerusi sesi perniagaan kepada perniagaan (B2B) dan perniagaan kepada pengguna (B2C) yang kukuh.

Pengerusi penganjur, Ong Choon Jet berkata edisi keenam MIAPEX pada 23-25 Oktober depan di Pusat Pameran & Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MIECC), dijangka disertai kira-kira 350 pempamer tempatan serta antarabangsa.

“Pempamer ini bukan setakat dari Malaysia, tetapi juga dari negara-negara seperti China, Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Thailand, Taiwan, Singapura, Jerman dan Australia.

“Kami mahu MIAPEX menjadi satu platform pertemuan bagi syarikat-syarikat Malaysia dan antarabangsa untuk mendapatkan sumber, berdagang serta menemui teknologi baharu yang dapat mewujudkan peluang perniagaan baharu,” katanya pada sidang media mengumumkan penganjuran ekspo berkenaan di sini, hari ini.

Ong berkata ekspo itu yang turut diiktiraf oleh Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), juga dijangka menarik lebih 22,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya.

MIAPEX melaksanakan pendekatan B2B mengikut industri manakala B2C berdasarkan pengalaman yang dapat menghubungkan kalangan penggiat industri automotif, pembekal, pemilik kenderaan serta komuniti secara menyeluruh.

Antara segmen B2B MIAPEX adalah Persidangan Logisitik dan Pengangkutan ASEAN yang berlangsung pada 23 hingga 24 Oktober dan menyentuh pelbagai isu berkaitan sektor berkenaan, termasuk penggunaan kenderaan elektrik (EV) hijau, penerapan kecerdasan buatan (AI), logistik rentas sempadan serta sesi dialog awam bersama barisan pemimpin industri.

Selain itu, Persidangan Pakar Baik Pulih Automotif Asia (AARE) 2026 pula berlangsung pada 25 Oktober bagi membincangkan perkembangan teknologi, aspek keselamatan dalam pembaikan kenderaan EV serta piawaian pensijilan industri untuk pemilik bengkel tempatan.

Bagi B2C, MIAPEX akan mengetengahkan rangkaian tarikan berasaskan pengalaman, termasuk kemunculan pertama acara pertunjukan kereta Bumper to Bumper dari Filipina di Malaysia, perhimpunan kelab kereta, pertandingan Raja & Ratu Tukar Tayar 2026, jualan mega serta cabaran interaktif di gerai pameran yang menawarkan hadiah cabutan bertuah bernilai RM20,000.

Acara itu juga menyaksikan pelancaran Malaysia Toy Cars Expo bagi menarik minat keluarga serta golongan muda terhadap konsep reka bentuk automotif serta prinsip kejuruteraan.

Ini termasuk membolehkan pengunjung melihat pelbagai kereta mini Tamiya Mini 4WD serta kereta kawalan jauh.

“Kami berharap acara MIAPEX ini dapat menghubungkan pemain industri dengan komuniti selain peluang untuk mereka mengetahui perkembangan membabitkan industri automotif.

“Mesej kami adalah agar orang ramai datang dan nikmati sendiri pengalaman di MIAPEX yang menawarkan masuk secara percuma,” kata Ong.

-- BERNAMA