Am 15/09/2026 05:58 PM

Sukan Asia: MSN, MOM Tangani Isu Penginapan Atlet Di Aichi-Nagoya

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Sukan Asia: MSN, MOM Tangani Isu Penginapan Atlet Di Aichi-Nagoya

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Majlis Sukan Negara (MSN) bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengambil langkah proaktif bagi menyelesaikan masalah penginapan membabitkan atlet karate dan memanah negara menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang akan membuka tirai secara rasmi Sabtu ini.

Antara langkah yang diambil termasuk menanggung kos bilik tambahan di hotel penginapan rasmi bagi lima atlet karate yang dijadual tiba di Nagoya pada Khamis ini, yang sebelum ini tidak disediakan penginapan.

Langkah itu susulan isu kekurangan bilik penginapan yang turut dialami beberapa kontinjen lain.

Bagi skuad memanah yang membabitkan 16 atlet dan pegawai, MSN memaklumkan pihaknya telah membuat tempahan 11 bilik di hotel berasingan sebagai langkah persediaan sekiranya masih belum mendapat pengesahan status penginapan daripada pihak penganjur.

"Untuk mengelakkan fokus atlet terganggu, MSN telah membuat tempahan 11 bilik di hotel berasingan dan akan membayar kos itu termasuk kos pengangkutan ke venue pertandingan sekiranya penganjur tidak memaklumkan status penginapan apabila mereka tiba pada 24 Sept nanti," menurut MSN dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut MSN, setakat ini atlet dan pegawai daripada sukan bola keranjang wanita, kriket wanita, ekuestrian serta pasukan hoki lelaki dan wanita sudah tiba di Aichi, Nagoya dan Tokyo, dengan kesemua mereka disediakan penginapan oleh pihak penganjur.

Selain aspek penginapan, MSN turut mengambil langkah menghadapi keadaan cuaca tidak menentu di Aichi dan Nagoya dengan membekalkan setiap atlet negara baju hujan susulan hujan lebat yang melanda kawasan berkenaan sejak beberapa hari lalu.

MSN memaklumkan sekretariat juga menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) Keselamatan untuk atlet, selain SOP Keselamatan Bencana Alam yang disediakan oleh pihak penganjur.

Berkenaan isu makanan pula, MSN memaklumkan pegawainya di Aichi dan Nagoya sentiasa berhubung dengan pihak penganjur bagi memastikan setiap hidangan yang disajikan kepada atlet negara mendapat pengesahan halal, termasuk untuk atlet yang menginap di perkampungan sukan dan hotel-hotel rasmi.

"Walau bagaimanapun, sekretariat ada membawa bekalan makanan 'ready to eat' sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya ada atlet yang memerlukannya dan menangani risiko keracunan makanan jika mereka terpaksa mendapatkan makanan daripada luar," menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, MSN berkata pihaknya juga menjangkakan pengangkutan atlet ke venue pertandingan bakal menimbulkan masalah dan telah menyediakan penyelesaian dengan mengenal pasti pembekal perkhidmatan pengangkutan yang boleh ditempah untuk kegunaan atlet negara.

Menurut MSN, isu itu telah dibangkitkan ketika mesyuarat ketua-ketua kontinjen semalam, dengan ada kontinjen terpaksa menunggu sehingga 40 minit sebelum disediakan pengangkutan untuk ke venue pertandingan.

"MSN juga mengingatkan semua atlet untuk sentiasa memaklumkan kepada pengurusan pasukan jika ada sebarang isu yang boleh menjejaskan fokus dan persiapan mereka supaya tindakan susulan dapat dirujuk oleh sekretariat kepada penganjur bagi mencari jalan penyelesaian terbaik," katanya.

-- BERNAMA