Am 15/09/2026 05:30 PM

Banjir Surut, PPS Dewan Changkat Larah Ditutup

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Banjir Surut, PPS Dewan Changkat Larah Ditutup
Kredit: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perak

IPOH, 15 Sept (Bernama) -- Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan Changkat Larah, Kamunting yang menempatkan mangsa banjir di daerah Larut, Matang dan Selama ditutup hari ini selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Larut, Matang dan Selama Mohd Nasrul Menhat berkata PPS berkenaan ditutup pada 2 petang selepas banjir di kawasan terjejas surut sepenuhnya.

"Kerjasama semua jabatan dan agensi yang terlibat dalam pengoperasian PPS ini amatlah dihargai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, sebanyak 76 orang daripada 24 keluarga ditempatkan di PPS berkenaan dengan kesemuanya terdiri daripada penduduk Taman Larah Damai, Kampung Changkat, Taman Lela dan Taman Kamunting Mutiara.

Semalam, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Larut Matang dan Selama memaklumkan beberapa kawasan di daerah berkenaan dinaiki air atau terputus hubungan susulan paras air sungai yang tinggi akibat hujan berterusan.

-- BERNAMA