Am 15/09/2026 05:55 PM

Pidato Rukun Negara Rekod 10,000 Penyertaan, Bukti Minat Generasi Muda - Ab Rauf

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pidato Rukun Negara Rekod 10,000 Penyertaan, Bukti Minat Generasi Muda - Ab Rauf

MELAKA, 15 Sept (Bernama) -- Penyertaan Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan tahun ini melonjak kepada 10,494 peserta, mencerminkan peningkatan minat generasi muda untuk memahami, menghayati dan menyuarakan prinsip Rukun Negara.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata jumlah itu meningkat berbanding 9,312 penyertaan tahun lepas, sekali gus menembusi angka lima digit buat julung-julung kalinya.

“Bagi saya, angka 10,494 ini bukan sekadar satu rekod baharu. Ia satu isyarat jelas bahawa Rukun Negara masih utuh dalam jiwa anak Malaysia.

"Mereka mahu memahami. Mereka mahu menghayati dan yang paling penting, mereka berani menyuarakannya,” katanya.

Beliau berkata ketika berucap pada Pertandingan Akhir Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka Tahun 2026 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam serta Timbalan Menteri Perpaduan Negara Yuneswaran Ramaraj.

Ab Rauf berkata lebih membanggakan, pertandingan tahun ini menerima penyertaan dari seluruh negeri di Malaysia, termasuk Perlis hingga Johor serta Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata perkembangan pertandingan itu membuktikan bahawa cetusan yang bermula di Melaka enam tahun lepas kini berkembang menjadi sebuah gerakan nasional, yang menghimpunkan anak-anak Malaysia untuk menyuarakan makna perpaduan, kestabilan dan masa depan negara.

"Bagi menghargai sambutan luar biasa itu, kerajaan negeri turut memperluas Geran Penyertaan Tertinggi sehingga tempat ketiga sebagai pengiktirafan kepada sekolah dan institusi pendidikan yang gigih menggerakkan penyertaan.

“Tentunya, inilah manifestasi penghargaan kerajaan negeri kepada para pendidik yang tekun membina jati diri, menanam kecintaan kepada negara dan menghidupkan Rukun Negara dalam jiwa anak-anak Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata rakyat Malaysia perlu berani berbeza pandangan tanpa kehilangan rasa hormat, selaras dengan prinsip Rukun Negara yang menjadi asas penyatuan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Kekuatan sebenar Malaysia bergantung kepada rakyat yang berpegang kepada agama, setia kepada raja dan negara, menjunjung Perlembagaan serta menghormati undang-undang, selain mengamalkan Kesopanan dan Kesusilaan dalam setiap tutur kata dan tindakan.

"Prinsip Rukun Negara perlu terus menjadi titik temu rakyat atau kompas utama perpaduan Malaysia yang datang daripada pelbagai negeri, latar belakang, budaya dan pandangan," katanya.

Meskipun kemajuan teknologi telah mengubah cara masyarakat berkomunikasi, berkongsi pandangan dan menyuarakan pendirian, kesopanan dan kesusilaan perlu kekal menjadi sempadan dalam setiap tutur kata dan tindakan.

--  BERNAMA