KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam membudayakan amalan integriti, etika, tatakelola serta pembangunan insan berteraskan nilai Islam.
MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah IKIM Profesor Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil mewakili IKIM, manakala IIM diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Noridah Abdul Rahim, serta disaksikan Pengerusi IKIM Profesor Emeritus Datuk Dr Mohd Yusof Haji Othman dan Ahli Lembaga Pengarah IIM Datuk Seri Mustafar Ali.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu di sini, Mohamed Azam berkata kerjasama julung-julung kali antara kedua-dua institusi berkenaan penting dalam memperluas kefahaman integriti merentasi sektor awam dan swasta.
"Mengambil objektif penubuhan IKIM untuk memberikan kefahaman Islam yang sebenar, kita melihat kerjasama erat dengan IIM sangat penting bagi membudayakan amalan integriti dalam konteks kerja sektor awam dan swasta.
“Ini satu sejarah kerana walaupun kedudukan kita berdekatan, inilah kali pertama MoU termaterai," katanya.
Mohamed Azam berkata melalui kerjasama itu pelbagai perancangan bakal dilaksanakan merangkumi penganjuran program, seminar, bengkel, penerbitan buku serta penghasilan kandungan media sosial seperti video pendek untuk mendidik masyarakat.
“Kita juga sudah ada satu buku berkaitan integriti yang telah dihasilkan dan bakal diluncurkan tidak lama lagi, juga platform media di bawah IKIM seperti Radio IKIM FM dan TVIKIM akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyebarluaskan mesej integriti serta menangani isu penyelewengan dalam masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Mohd Yusof dalam ucapannya berkata cabaran integriti hari ini tidak boleh diselesaikan melalui mekanisme pematuhan dan penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya memerlukan pembentukan nilai, sikap dan akhlak insan.
"IKIM membawa kekuatan dalam bidang pemikiran Islam, ilmu dan peradaban, manakala IIM mempunyai kepakaran dalam membudayakan integriti dan pencegahan rasuah. Kerjasama ini mengintegrasikan pembangunan sistem dengan pembentukan akhlak," katanya
-- BERNAMA