PUTRAJAYA, 15 Sept (Bernama) -- Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) sedang meneroka peluang dalam sektor kenderaan elektrik (EV) dan automotif, dalam usahanya mempelbagaikan pelaburan melangkaui asas sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Datuk Mohamad Haris Kader Sultan berkata pihaknya masih belum menetapkan bahagian tertentu daripada sasaran pelaburan kumulatifnya iaitu sebanyak RM470 bilion menjelang 2030.
Bagaimanapun, katanya, ia mungkin diperoleh daripada sektor automotif, tetapi mengakui pihaknya sedang menilai potensi beberapa pelaburan.
“Antaranya ialah projek kenderaan berteknologi tinggi di Kulim, Kedah, yang melibatkan bakal pelabur dalam sektor EV dan mereka sedang melaksanakan proses usaha wajar,” katanya sambil menambah bahawa NCER juga bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi menilai potensi pelaburan tersebut.
Mohamad Haris berkata setakat ini, dua pelabur telah dikenal pasti dalam segmen bateri EV, manakala tiga lagi dalam segmen automobil sedang dalam pertimbangan.
Beliau juga berkata langkah itu diambil berikutan aktiviti E&E dan semikonduktor terus menjadi teras pelaburan di NCER terutamanya di Pulau Pinang, apabila kira-kira 95 peratus daripada pelaburan dijangka tertumpu dalam sektor tersebut.
Terdahulu, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir melancarkan Pelan Pembangunan Strategik NCER 2026-2030, yang bertujuan merealisasikan pelaburan kumulatif sebanyak RM470 bilion menjelang 2030 dengan 70 peratus daripadanya disumbangkan oleh sektor utama sebagai E&E, automotif, pelancongan bernilai tinggi dan pertanian moden.
Sasaran tersebut adalah RM126.2 bilion lebih tinggi berbanding RM343.8 bilion di bawah pelan pembangunan NCER yang terdahulu.
Sementara itu, Mohamad Haris berkata tumpuan terhadap E&E dan semikonduktor tidak menjejaskan peluang dalam sektor lain, kerana usaha turut dilakukan bagi meningkatkan pertumbuhan melangkaui pusat pelaburan sedia ada.
Beliau berkata, Kulim Hi-Tech Park di Kedah kekal sebagai antara kawasan utama bagi pelaburan, manakala Lembah Chuping di Perlis terus menjadi tarikan utama bagi aktiviti semikonduktor.
Kepelbagaian plaburan juga bertujuan memastikan pertumbuhan ekonomi mencapai kawasan kurang membangun di keempat-empat negeri dalam NCER, iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Katanya, program dan projek yang bakal dilaksanakan di kawasan itu bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan, termasuk memastikan kawasan yang dibangunkan menggunakan peruntukan daripada Kementerian Ekonomi diisi dengan pelaburan yang telah diluluskan.
“Kami yakin dapat merealisasikan sasaran pelaburan kumulatif sebanyak RM470 bilion menjelang 2030, iaitu berdasarkan pelaburan yang telah diluluskan dan dijangka diterjemahkan sebagai projek sebenar dalam tempoh dua hingga tiga tahun, atau sehingga lima tahun bagi sesetengah kes.
“Sasaran ini lebih tinggi berbanding pelan sebelum ini tetapi unjuran itu disokong oleh trend pelaburan, malah sasaran kami bagi 2020 dan 2025 telah dicapai melebihi jangkaan,” katanya, sambil menambah bahawa sasaran pelaburan itu juga dijangka menyumbang kepada matlamat NCER untuk meningkatkan pendapatan isirumah median kepada RM7,500 menjelang 2030.
Mohamad Haris juga berkata pendekatan NCER tidak terhad kepada peningkatan jumlah pekerjaan, tetapi juga memberi tumpuan untuk menarik industri bernilai tinggi yang boleh meningkatkan produktiviti dan aktiviti bernilai tambah.
Kira-kira 45 peratus daripada sasaran pekerjaan itu dijangka melibatkan jawatan berkemahiran tinggi.
Oleh itu, bagi memenuhi permintaan terhadap tenaga kerja mahir, NCER sedang bekerjasama dengan universiti tempatan, politeknik, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pemain industri untuk mengenal pasti bidang dan kemahiran khusus yang diperlukan oleh pelabur.
-- BERNAMA