Am 15/09/2026 06:09 PM

Institusi Kehakiman Bukan Bersandarkan Kemegahan Marmar Dan Mahogani sebaliknya Pada Legasi Pendahulu 

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Institusi Kehakiman Bukan Bersandarkan Kemegahan Marmar Dan Mahogani sebaliknya Pada Legasi Pendahulu 
Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh (kanan) ketika menghadiri Majlis Memperingati Mantan-Mantan Ketua Hakim Negara Dan Mantan Hakim Besar Malaya di Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA, 15 Sept (Bernama) -- Institusi kehakiman bukan dibina atas kemegahan marmar dan  mahogani, sebaliknya berasaskan legasi yang ditinggalkan oleh para pendahulu, kata Ketua Hakim Negara Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh. 

Beliau berkata kewibawaan sesebuah institusi kehakiman pada akhirnya bergantung pada keperibadian dan tindakan mereka yang diamanahkan untuk menjunjung institusi berkenaan.

“Institusi kehakiman bukan sekadar dibina daripada marmar dan mahogani, tetapi berasaskan legasi para pendahulu kita dalam bidang kehakiman,” katanya dalam ucapan pada majlis mengenang jasa dan legasi empat tokoh terdahulu di Mahkamah Persekutuan, di sini hari ini.

Mereka ialah bekas Ketua Hakim Negara Allahyarham Tun Mohd Eusoff Chin, Allahyarham Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan Allahyarham Tun Abdul Hamid Mohamad, serta bekas Hakim Besar Malaya Allahyarham Tan Sri Siti Norma Yaakob.

Wan Ahmad Farid berkata keempat-empat tokoh berkenaan masing-masing membentuk dan memperkukuh institusi kehakiman dengan cara tersendiri, manakala sumbangan mereka secara kolektif menjadi sebahagian daripada institusi yang diwarisi oleh generasi masa kini.

“Justeru, apa yang kita miliki hari ini hasil sumbangan semua bukan hasil usaha seorang Ketua Hakim Negara sahaja,” katanya.

Wan Ahmad Farid berkata sesebuah negara mungkin mempunyai mahkamah, hakim serta bangunan sehebat Istana Kehakiman, namun semua itu tidak membuktikan apa-apa.

“Sesebuah institusi memperoleh kedudukannya hanya melalui keperibadian dan tindakan yang diamanahkan untuk menerajuinya.

“Tun Eusoff Chin menerapkan disiplin kepada institusi kehakiman ini. Tun Dzaiddin berusaha memulihkan kepercayaan terhadapnya. Tun Abdul Hamid memperkukuh prinsip dan sikap berhemah. Tan Sri Siti Norma membuka peluang untuk melantik hakim dari seluruh negara,” katanya.

Dalam memberi penghormatan kepada Allahyarham Eusoff, Wan Ahmad Farid berkata Ketua Hakim Negara yang paling lama berkhidmat itu menerapkan disiplin dalam institusi kehakiman, khususnya menerusi penekanannya terhadap ketepatan masa dan memastikan prosiding mahkamah bermula mengikut jadual.

Penekanan terhadap ketepatan masa mencerminkan prinsip asas bahawa masa kehakiman bukan milik hakim, sebaliknya milik pihak yang litigan yang telah menunggu bertahun-tahun untuk kes mereka dibicarakan di mahkamah.

Allahyarham Eusoff turut dikenang sebagai seorang yang adil serta hakim yang melayan pekerjanya dengan baik.

Mengenai Allahyarham Dzaiddin, Wan Ahmad Farid berkata bekas Ketua Hakim Negara itu berusaha memulihkan keyakinan awam terhadap institusi kehakiman serta memastikan hakim menjunjung kesopanan, berhemah, dan integriti.

Beliau berkata walaupun Allahyarham Dzaiddin berkhidmat kurang dua tahun, beliau telah memulakan usaha yang mungkin tidak sempat dilihat hasilnya.

Allahyarham Dzaiddin memulakan kerjaya sebagai wartawan di Malay Mail dan kemudian berkhidmat sebagai inspektor polis sebelum menceburi bidang perundangan.

“Pada pandangan saya, Tun Dzaiddin mengajar institusi kehakiman kembali terbuka untuk mendengar,” katanya.

Sementara itu, Wan Ahmad Farid berkata Tun Abdul Hamid menerapkan prinsip bahawa hakim perlu memahami kedua-dua skop dan batas kuasa kehakiman.

Beliau berkata falsafah bekas Ketua Hakim Negara itu terangkum dalam ungkapan “Hakim Bukan Parlimen”, yang menegaskan bahawa hakim mentafsirkan undang-undang dan bukannya menggubal undang-undang.

Walaupun menerajui institusi kehakiman kurang daripada setahun, Allahyarham Abdul Hamid meninggalkan sumbangan yang besar, merangkumi 567 penghakiman, lapan buku serta lebih 500 ucapan dan kertas kerja, manakala moto beliau ialah “Buat Kerja”, iaitu actions speak louder than words (perbuatan lebih memberikan gambaran daripada kata-kata). 

Beliau berkata legasi Allahyarham Siti Norma pula terserlah melalui peluang yang ditawarkan untuk wanita dalam institusi kehakiman dan profesion perundangan.

“Tan Sri Norma ialah wanita Melayu pertama yang diterima masuk sebagai barrister di Gray’s Inn, wanita pertama memegang jawatan eksekutif dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, wanita pertama menjadi Presiden Mahkamah Sesyen dan wanita pertama berkhidmat sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Allahyarham juga menjadi wanita pertama dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Persekutuan, sebelum menjadi wanita pertama mengangkat sumpah sebagai Hakim Besar Malaya pada 2005.

-- BERNAMA