Am 15/09/2026 06:14 PM

Jerebu: 39 Kawasan Catat IPU Tidak Sihat Setakat 4 Petang

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Jerebu: 39 Kawasan Catat IPU Tidak Sihat Setakat 4 Petang
Pemandangan di sekitar Putrajaya kelihatan terjejas akibat diselubungi jerebu hari ini. Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) setakat 2 petang ini, Putrajaya telah mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat iaitu sebanyak 160.

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Sebanyak 39 kawasan di seluruh negara mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 4 petang ini.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS), Selangor mencatat enam kawasan pada tahap tidak sihat dengan Johan Setia merekodkan bacaan tertinggi itu iaitu 188 diikuti Shah Alam (173), Klang (167), Petaling Jaya (166), Banting (164) dan Kuala Selangor (163).

Dua kawasan di Sarawak turut merekodkan bacaan tidak sihat iaitu Serian (171) dan Samarahan (151).

Sementara itu tujuh kawasan di Johor mencatat bacaan tidak sihat iaitu Tangkak (172), Pasir Gudang (167), KotaTinggi (164), Larkin (161), Batu Pahat (160), Pangerang (160) dan Segamat (117).

Pahang merekodkan lima kawasan pada tahap tidak sihat, iaitu Indera Mahkota Kuantan (167), Temerloh (163), Jerantut (163), Balok Baru Kuantan (162) dan Rompin (154).

Di Negeri Sembilan, tiga kawasan merekodkan IPU tidak sihat, iaitu Nilai (176), Seremban (172) dan Port Dickson (159) sementara di Terengganu melibatkan Kemaman (161), Paka (158) dan Kuala Terengganu (157) manakala di Perak melibatkan Tanjung Malim (166), Seri Manjung (160), Tasek Ipoh (157) dan Pagoh Ipoh (104).

Dua kawasan di Melaka turut mencatat IPU pada tahap tidak sihat, iaitu Alor Gajah (164) dan Bukit Rambai (164) manakala di Pulau Pinang, bacaan tidak sihat direkodkan di Balik Pulau (154), Minden (152) dan Seberang Jaya (139).

Selain itu, turut mencatat bacaan tahap tidak sihat ialah Cheras, Kuala Lumpur (177), Batu Muda, Kuala Lumpur (169), Putrajaya (174) dan Sungai Petani, Kedah (153).

Sementara itu, sebanyak 29 kawasan di seluruh negara merekodkan IPU pada tahap sederhana.

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).

-- BERNAMA