Am 15/09/2026 03:29 PM

Kes Muhyiddin: Pembelaan Mohon Tindakan Hina Mahkamah Terhadap Saksi Jana Wibawa

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kes Muhyiddin: Pembelaan Mohon Tindakan Hina Mahkamah Terhadap Saksi Jana Wibawa
Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir di Mahkamah Tinggi hari ini bagi perbicaraan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram.

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Pasukan pembelaan dalam kes Jana Wibawa membabitkan Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memohon Mahkamah Tinggi supaya mengambil tindakan menghina mahkamah terhadap saksi pendakwaan ke-29, Mazery Mohd Zaini, berhubung laporan polis yang dibuat terhadap seorang daripada peguam yang mewakili bekas Perdana Menteri itu.

Peguam Datuk Amer Hamzah Arshad berkata laporan polis itu dibuat terhadap beliau berhubung isu pemilikan dokumen, iaitu salinan rakaman percakapan Adam Radlan Adam Muhammad yang didakwa tiada kaitan dengan perbicaraan kes di mahkamah ini.

"Saya hanya boleh membuat kesimpulan bahawa individu yang menyampaikan maklumat ini ialah saksi yang berada di kandang saksi hari ini, ketika dia masih mengangkat sumpah dan masih dalam proses memberikan keterangan.

"Kini, tindakan membuat laporan polis, menyebut nama saya, cuba mencemarkan reputasi dan memberikan maklumat palsu bahawa laporan atau dokumen itu tiada kaitan dengan kes ialah satu cubaan untuk mengelirukan orang awam dan pihak berkuasa serta satu bentuk intimidasi.

"Saya tidak mahu membuang masa mahkamah, tetapi saya ingin merekodkan bahawa kami sedang mempertimbangkan pelbagai tindakan undang-undang. Saya tidak menolak kemungkinan membuat laporan terhadap pihak yang berkenaan termasuk pegawai penyiasat kerana membuat laporan palsu, menghina mahkamah dan mengambil apa-apa tindakan undang-undang yang lain," katanya.

Peguam itu berkata demikian sebelum perbicaraan kes Muhyiddin, yang berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin.

Bagaimanapun, Mazery, yang juga pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang sepatutnya menyambung keterangannya hari ini memohon maaf kepada barisan peguam, terutama Amer Hamzah berhubung laporan polis yang dibuat tentang kebocoran dokumen berkenaan.

“Pertama, saya ingin memohon maaf kepada barisan peguam, terutamanya Datuk Amer berkenaan dengan laporan polis yang dibuat kerana bimbang dokumen berkenaan mungkin keluar daripada pihak pegawai SPRM dan wujud kebocoran maklumat dalaman daripada pegawai SPRM.

"Saya perlu melindungi jabatan saya sendiri terhadap integriti pegawai SPRM. Oleh sebab itu, laporan dibuat untuk melihat ada atau tidak ruang-ruang kebocoran di pihak SPRM sendiri kerana kita tidak mahu dokumen-dokumen terperingkat yang penting seperti ini boleh sewenang-wenangnya keluar, terutama pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata sekiranya tidak terdapat kebocoran maklumat dalam kalangan pegawai, pihaknya akan menarik balik laporan polis berkenaan dengan kadar segera. 

Amer Hamzah berkata beliau mengambil maklum permohonan maaf dan penjelasan saksi itu, namun masih belum dapat menerima sepenuhnya alasan berkenaan selagi laporan polis terbabit kekal.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata tindakan untuk menganggap laporan polis berkenaan sebagai satu bentuk intimidasi terhadap pihak pembelaan adalah keterlaluan.

"Untuk mengatakan hal ini satu bentuk intimidasi, saya rasa sudah terlalu jauh dan Mazery sudah menjelaskan kepada mahkamah tujuan laporan itu dibuat dan turut menyatakan kesediaannya menarik balik laporan sekiranya siasatan mendapati tiada kebocoran daripada SPRM," katanya.

Beliau berkata Mazery mempunyai tanggungjawab sebagai pegawai penyiasat untuk menjaga integriti SPRM, namun pihak pendakwaan menyerahkan perkara itu kepada mahkamah.

Hakim Noor Ruwena berkata mahkamah mengambil serius perkara itu kerana Mazery masih dalam proses memberikan keterangan di mahkamah. 

“Mahkamah juga mengambil maklum kerana kamu masih dalam proses memberikan keterangan, sebab itu saya nak tahu dulu, yang sebut pegawai penyiasat dalam laporan polis itu adakah kamu atau dalam pasukan kamu?” katanya. 

Noor Ruwena kemudian meminta Mazery membuat semakan dengan jabatannya untuk mengesahkan pihak yang mempunyai kaitan dengan dokumen serta laporan berkenaan.

“Kamu perlu berhubung dengan pegawai penyiasat itu dan beritahu mahkamah segera,” katanya sebelum menyambung perbicaraan kes berkenaan.

-- BERNAMA