Am 15/09/2026 06:02 PM

PM Anwar Terima Kunjungan Hormat Tiga Pemimpin Kanan Maldives

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PM Anwar Terima Kunjungan Hormat Tiga Pemimpin Kanan Maldives
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Naib Presiden Maldives Hussain Mohamed Latheef dan delegasi sebagai sempena lawatan rasmi beliau di Niva Kurumba. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Daripada Mohd Fharkhan Abdul Ghapar

KURUMBA (Maldives), 15 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat daripada tiga pemimpin kanan Maldives di Niva Kurumba Maldives di sini, sebagai sebahagian daripada rangka lawatan rasmi beliau ke republik kepulauan berkenaan.

Kunjungan hormat itu melibatkan Naib Presiden Maldives Hussain Mohamed Latheef, Yang Dipertua Majlis Rakyat Maldives Abdul Raheem Abdulla dan Menteri Luar Iruthisham Adam, yang berlangsung secara berasingan, masing-masing selama 10 minit.

Anwar terlebih dahulu menerima kunjungan hormat Hussain pada 11.45 pagi waktu tempatan, disusuli dengan Abdul Raheem pada 11.55 pagi dan Iruthisham pada 12.05 tengah hari.

Kunjungan hormat itu berlangsung selepas Anwar selesai menghadiri rangka program rasmi di Pejabat Presiden di Malé, termasuk mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Maldives Dr Mohamed Muizzu dan mesyuarat delegasi Malaysia–Maldives.

Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pertahanan dan hal ehwal Islam serta mengadakan sidang media bersama.

-- LAGI

 

ANWAR-MALDIVES (KUNJUNG HORMAT) 2 (AKHIR) KURUMBA 

 

Anwar berada di Maldives bagi lawatan rasmi dua hari yang bertujuan memperkukuh hubungan dua hala serta meneroka potensi kerjasama baharu antara kedua-dua negara dan lawatan tersebut berakhir petang ini.

Dalam lawatan itu, Anwar diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka dan Maldives Badli Hisham Adam.

Malaysia dan Maldives menjalin hubungan diplomatik sejak 1968.

-- BERNAMA