KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini membantah permohonan dua lelaki untuk mendapatkan kebenaran mahkamah bagi memulakan semakan kehakiman mencabar keputusan perdana menteri, kerajaan dan tiga menteri Kabinet menghapus serta menyasarkan subsidi diesel di Semenanjung pada 10 Jun 2024.
Peguam Kanan Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali berkata keputusan untuk menghentikan subsidi tidak boleh dicabar melalui semakan kehakiman kerana keputusan itu bukan dikawal selia di bawah mana-mana peruntukan undang-undang bertulis.
"Pemberian atau penghentian subsidi bukan suatu hak yang diperuntukkan di bawah undang-undang, sebaliknya merupakan bentuk bantuan kewangan dan ia keputusan dasar yang tidak boleh diputuskan oleh mahkamah," katanya semasa pendengaran permohonan kebenaran semakan kehakiman berkenaan hari ini.
Selain itu, Mohammad Sallehuddin berkata tiada keperluan untuk mahkamah meneliti isu berkenaan kerana ia telah menjadi akademik, susulan harga dan kaedah subsidi diesel seluruh negara telah diseragamkan pada 1 Julai lepas.
Pada 7 Okt 2024, Azhani Marlan @ Abd Halim, 49, dan Mohd Hatta Sanuri, 50, selaku pemohon memfailkan permohonan semakan kehakiman itu dengan menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali serta Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan kerajaan sebagai responden pertama hingga keenam.
Dua individu berkenaan memohon antaranya perisytiharan bahawa keputusan semua defendan pada 9 Jun 2024 untuk menghapuskan subsidi diesel dan menyasarkan harga runcit diesel kepada RM3.35 seliter, berbanding RM2.15 sebelumnya (kenaikan 56 peratus), berkuat kuasa 10 Jun 2024 di Semenanjung, namun diberikan pengecualian Sabah dan Sarawak, adalah batal dan tidak sah di sisi undang-undang.
Sementara itu, peguam Mohaji Selamat yang mewakili dua pemohon itu berkata keputusan berkenaan boleh disemak oleh mahkamah kerana tidak membabitkan keselamatan negara atau kuasa prerogatif tertentu, yang lazimnya tidak boleh dihakimi.
"Keputusan kerajaan berhubung subsidi diesel tertakluk kepada undang-undang, termasuk Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 6(2)(g) Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama. Jadi, kenapa rakyat di Semenanjung tidak mendapat subsidi sedangkan pada ketika itu subsidi tanpa had diberikan kepada Sabah dan Sarawak," katanya.
Mohaji berkata isu berkenaan tidak seharusnya dianggap akademik hanya kerana kerajaan mengembalikan subsidi diesel di Semenanjung secara berperingkat.
"Sesuatu permohonan semakan kehakiman masih boleh diteruskan walaupun keputusan yang dicabar sudah ditarik balik atau berubah. Kami berpandangan, kerosakan (damage) atau kesan yang berlaku susulan keputusan itu daripada 10 Jun 2024 hingga 1 Julai 2026 tidak hilang hanya kerana subsidi dikembalikan," katanya.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Norliza Othman menetapkan 16 Nov depan untuk keputusan permohonan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman berkenaan.
-- BERNAMA