Am 15/09/2026 11:37 AM

Kuota FiT 250 MW Dijangka Jana Pelaburan RM3 Bilion, Lebih 5,000 Peluang Pekerjaan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kuota FiT 250 MW Dijangka Jana Pelaburan RM3 Bilion, Lebih 5,000 Peluang Pekerjaan

PUTRAJAYA, 15 Sept (Bernama) -- Penawaran kuota baharu 250 megawatt (MW) menerusi Program Tarif Galakan (FiT) bagi 2027 dijangka menjana pelaburan RM3 bilion dan mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan secara langsung serta tidak langsung kepada orang ramai.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kuota bagi sumber biogas, biojisim dan hidrokuasa kecil itu ditawarkan kepada pemaju tenaga boleh baharu (TBB) yang layak di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Daripada keseluruhan kuota itu, 30 MW diperuntukkan bagi biogas, 120 MW (biojisim) dan 100 MW (hidrokuasa kecil).

PETRA memaklumkan kesemua kuota itu boleh dipohon secara bidaan dalam talian (e-bidding) melalui laman sesawang SEDA Malaysia bermula 3 Feb 2027 hingga 24 Mac 2027.

“Kerajaan menjangkakan penawaran kuota FiT yang baharu ini berupaya menjana pelaburan sebanyak RM3 bilion, ia juga akan melibatkan pembelian gas enjin dan dandang yang dipasang secara tempatan sebanyak RM510 juta,” menurut kenyataan itu.

“Langkah ini juga adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan kapasiti campuran TBB dalam pembekalan elektrik negara kepada 70 peratus menjelang 2050. Projek-projek TBB yang bakal diluluskan ini dijangka boleh menjana dan membekalkan tenaga elektrik hijau seawal 2030,” menurut kenyataan itu.

Menurut PETRA, sejak program FiT diperkenalkan pada 2011, kuota sebanyak 1,660.50 MW telah diluluskan bagi kesemua sumber TBB melibatkan 9,658 projek di seluruh negara.

Maklumat lanjut mengenai proses permohonan kuota, termasuk tarikh sesi taklimat kepada pembida dan penghantaran permohonan e-bidding boleh diperoleh menerusi laman sesawang SEDA Malaysia di pautan https://www.seda.gov.my/reportal/fit.

-- BERNAMA