Oleh Anas Abu Hassan
SINGAPURA, 15 Sept (Bernama) -- Singapura mencatatkan kualiti udara pada tahap tidak sihat di seluruh republik itu pada pagi Selasa, dengan Indeks Piawaian Pencemar (PSI) 24 jam melepasi paras 100 di kesemua lima kawasan susulan jerebu yang berterusan.
Data Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menunjukkan bacaan PSI 24 jam berkisar antara 101 hingga 145 setakat 10 pagi, dengan kawasan tengah mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 145, diikuti Barat (122) dan Timur (120).
Kawasan Utara dan Selatan turut mencatatkan kualiti udara pada tahap tidak sihat pada Selasa, masing-masing dengan bacaan 101 dan 104.
PSI 24 jam menunjukkan kualiti udara harian Singapura dan menjadi asas kepada nasihat kesihatan harian NEA. Mengikut skala PSI, kualiti udara dianggap tidak sihat apabila bacaan berkisar antara 101 hingga 200, sangat tidak sihat antara 201 hingga 300 dan berbahaya apabila melebihi 300.
Menurut nasihat NEA, keadaan kering dijangka berterusan di Singapura dan kawasan sekitarnya dalam tempoh beberapa hari akan datang, manakala kepulan asap sederhana hingga tebal daripada kebakaran di Kalimantan telah bergerak ke arah Singapura.
“Dengan angin lazim diramal terus bertiup dari tenggara ke timur-tenggara, Singapura berkemungkinan terjejas akibat jerebu asap,” menurut NEA.
Sementara itu, Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) dalam laporan cuaca dan jerebu hariannya memaklumkan situasi titik panas dan jerebu asap dijangka kekal pada tahap tinggi di kawasan yang terdedah kepada kebakaran dan mengalami keadaan kering berpanjangan, dengan risiko berterusan berlakunya jerebu rentas sempadan yang teruk.
“Jerebu rentas sempadan pada tahap sederhana dikesan di Semenanjung Malaysia, Singapura serta bahagian selatan Vietnam dan Kemboja.
“Angin lazim di rantau selatan ASEAN dijangka bertiup dari tenggara ke barat daya, kecuali di beberapa bahagian di Borneo yang diramal mengalami tiupan angin lemah dan berubah-ubah arah,” menurut pusat itu.
-- BERNAMA